Monday, November 28, 2011

Majlis Makan Malam Rejimental 2011 Rai Pegawai Kadet PALAPES UTHM


Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis makan malam sempena meraikan pegawai- pegawai muda kadet PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baru saja ditauliahkan pada Julai lalu.

Majlis makan malam yang berlangsung pada 11 November di Pulai Spring Resort, Johor Bahru itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu merdu dengan iringan muzik daripada kumpulan Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Manakala para tetamunya pula disajikan dengan beberapa hidangan yang cukup menyelerakan.

Naib Canselor, Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih di atas kesudian Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail untuk turut sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada 49 orang pegawai kadet PALAPES UTHM yang baru saja ditauliahkan pada 9 Julai lalu dalam majlis penuh istiadat iaitu Majlis Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-30 yang bertempat di kampus utama UTHM, Parit Raja Batu Pahat.

Naib Canselor dalam ucapannya juga turut mengingatkan pegawai-pegawai muda tersebut agar tidak lupa menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan penuh jujur dan amanah.

Majlis turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai kanan universiti serta wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.