Wednesday, November 2, 2011

Jahidin Bangga Anak-Anak Jejak Kaki Ke UTHM

Jahidin Jendol, 52 ayah kepada enam orang anak ini melahirkan rasa bangganya kerana kedua-dua anaknya telah berjaya menjadi anak didik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

"Syukur kerana anak sulung saya senang mendapat pekerjaan sewaktu tamat belajar di UTHM. Ternyata pilihannya untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran sememangnya tidak salah,"kata Jahidin memulakan cerita.

Anak sulungnya Mohd Khairul Aftitah, 27 tahun telah menamatkan zaman pengajiannya dengan segulung ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian di UTHM pada tahun 2008. Manakala Mohd Akmal, 24 tahun kini di tahun akhir pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di universiti yang sama.

Ketika ditanya mengenai karier anak sulungnya, Jahidin yang juga suami kepada Siti Hajar Ahmad, 48 ini menjelaskan selepas tamat belajar sekitar tahun 2008, anaknya terus ditawarkan jawatan sebagai Junior Bio Medical Engineer di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Setelah beberapa bulan bekerja, anaknya ditawarkan pula bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Jurutera Elektrik. Tidak lama selepas itu dia melepaskan jawatan kontraknya itu setelah ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Institut Latihan Perindustrian, Kementerian Sumber Manusia. Kini anaknya menjalankan tugas tersebut di Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Mohd Akmal, anak ketiganya pula sedang menyambung pengajiannya di peringkat ijazah, juga di UTHM. Pelajar tahun akhir tersebut mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan. Ketika ditanya mengapa kedua-dua anaknya memilih UTHM sebagai universiti pilihan, Jahidin menjelaskan bahawa memang cita-cita mereka menjejak kaki ke sana memandangkan UTHM sebelum ini telah banyak melahirkan graduan yang cemerlang."Saya juga berharap adik-adik mereka yang masih dibangku sekolah turut sama mengikut jejak langkah abang-abangnya nanti" tambah Jahidin.

Beliau berpendapat lokasi kampus yang terletak di kawasan luar bandar juga dapat membantu anak-anaknya menumpu lebih perhatiaan terhadap pelajaran. "Saya amat tertarik dengan pemandangan sekitar kampus yang tenang dan dengan segala kemudahan asas seperti perkhidmatan bas, kafetaria, bank dan lain-lain dapat memudahkan para pelajar untuk berurusan,"jelas beliau lagi.

Jahidin juga memberi komen tentang perkhidmatan yang diberi oleh pihak universiti sewaktu mendaftarkan anak-anaknya. "Sememangnya segala urusan pendaftaran berjalan lancar dan hanya mengambil masa sehari sahaja untuk menyelesaikannya," tambah Jahidin sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.