Monday, October 31, 2011

Majlis Pemakaian Hud Graduan Siswazah Rai Kejayaan Para Graduan




Majlis konvokesyen Ke-11 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun ini mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat pertama kalinya para graduan peringkat pasca siswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah) diraikan dalam satu majlis khas iaitu Majlis Pemakaian Hud Graduan Siswazah yang berlangsung pada 27 Oktober 2011.

Pada majlis tersebut, para penyelia graduan diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk memakaikan hud para graduan di bawah seliaannya sebagai simbolik meraikan kejayaan mereka.

Pada tahun ini, lapan orang merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah manakala 164 lagi menerima Ijazah Sarjana.

Daripada jumlah tersebut, 58 orang graduan terdiri daripada graduan antarabangsa seperti dari Egypt, Indonesia, Iraq, Libya, Nigeria dan Pakistan. Sementara itu, seramai 28 orang penyelia utama terlibat dalam menyelia para pelajar mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke 11,yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Canselor UTHM.

Upacara pemakaian hud ini telah disaksikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Dr. Rugayah Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Turut hadir di majlis ini adalah Pegawai-Pegawai Kanan universiti serta sebahagian anggota keluarga para graduan.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.