Thursday, October 13, 2011

Profesor Ir. Dr. Haji Abas Perkenalkan Program Aeronautik di UTHM dan Rahsia Penerbangan Helikopter


Profesor Ir. Dr. Haji Abas Abdul Wahab, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan telah menyampaikan syarahan pada Majlis Syarahan Perdana Siri 7/2011 bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 11 Oktober lalu.

Syarahan bertajuk "UTHM Aeronautics and The Secret in Helicopter Flying" ini membincangkan tentang program Teknologi Kejuruteraan Aeronautik di UTHM dan juga mengenai rahsia penerbangan helikopter.

Di awal syarahan, Profesor Ir. Dr. Haji Abas telah memukau penonton dengan persembahan video menarik yang menyentuh tentang dunia penerbangan. Beliau turut menjelaskan secara ringkas tentang pendidikan Aerounatik di Malaysia.

Seterusnya, beliau menerangkan secara terperinci mengenai program Aeronautik yang ditawarkan oleh UTHM iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Senggaraan Pesawat Terbang) juga dengan Kepujian.

Antara perkara yang disentuh ialah mengenai keunikan program tersebut, sejarah penubuhan dan pelaksanaan kedua-dua kursus ini di universiti, syarat kemasukan dan pemilihan pelajar, undang-undang dan peraturan yang telah digariskan dan kemudahan yang telah disediakan oleh universiti untuk program ini.

Di akhir syarahan, beliau turut memberi gambaran tentang asas penerbangan helikopter dan turut membandingkan corak penerbangannya dengan kapal terbang. Beliau juga menyentuh secara ringkas tentang penyelidikan yang sedang dilakukan oleh UTHM berkenaan isu-isu penerbangan.

Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM turut memberi ulasan tentang syarahan tersebut di akhir majlis.

Ahli Senat UTHM, Dekan-Dekan Fakulti dan kira-kira 350 orang penonton yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan universiti hadir ke majlis tersebut.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.