Monday, December 19, 2011

Kembara Media NBOS (KDN) 2011 Temui Pelajar UTHM Untuk Sebar Maklumat


Walaupun Keselamatan negara dalam keadaan aman dan terkawal, namun masih lagi berlaku kejadian jenayah seperti kecurian, rogol, penipuan dan pembunuhan. Merujuk statistik terkini Kadar Indek Jenayah negeri Johor, Batu Pahat menduduki tempat keempat dalam carta peningkatan kadar jenayah selepas Johor Bahru Utara, Sri Alam Pasir Gudang dan Johor Bahru Selatan.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil inisiatif menganjurkan satu program Kembara Media NBOS (KDN) 2011 untuk mempromosi penurunan kadar jenayah melalui Pelan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama pihak media bermula di Putrajaya, diikuti dengan Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

Menurut Zinitulniza Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat KDN, program kembara ini merupakan usaha KDN dalam menyediakan ruang serta input kepada wartawan untuk melihat secara lebih jelas usaha-usaha yang dibuat oleh KDN dalam menurunkan kadar indek jenayah.

Program kembara ini juga bertujuan untuk menjelaskan isu-isu berbangkit mengenai program-program KDN yang dilaksanakan supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada media dan seterusnya disalurkan kepada rakyat.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dipilih sebagai destinasi singgahan untuk KDN menyampaikan mesej-mesejnya dengan mensasarkan golongan pelajar sebagai agen untuk menyalurkan maklumat.

Program Kembara tersebut telah berlangsung pada 10 Disember 2011 lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM. Kira-kira 500 orang pelajar yang terdiri daripada tiga badan beruniform iaitu pasukan RELA Siswa Siswi (RELASIS), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan Pasukan Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Kor SUKSIS) hadir mengikuti program tersebut.

Program dimulakan dengan taklimat mengenai Penurunan Kadar Jenayah negeri Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad. Antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut ialah tentang statistik terkini kadar jenayah negeri Johor, inisiatif yang diambil untuk mengurangkan kadar jenayah dan pendedahan beberapa kawasan ‘Hot Spot' iaitu lokasi yang mempunyai kadar jenayah paling tinggi.

Program kembara itu juga diisi dengan sesi forum bertajuk "Trend Jenayah di Kalangan Generasi Muda Masa Kini & Inisiatif Mengatasinya." Ahli Panelnya terdiri daripada Mej. Jeneral (RELA) Khairi Mohd Alwee daripada RELA, Mej. (PA) Rohaizat Hadli daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), ACP Din Ahmad daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mej. Baktiar Nor Md Alias daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tuan Haji Izhar Abu Taib daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Forum yang dipengerusikan oleh Encik Hassan Mohamad daripada KDN ini mendapat respon yang baik daripada penonton terutama semasa berlangsungnya sesi soal jawab.

Ketika ditanya mengapa memilih UTHM sebagai destinasi pilihan, Zinitulniza menjelaskan KDN memilih bertemu tiga kumpulan sasar yang mewakili komponen penting dalam masyarakat. Kumpulan Sasar di Muar ialah pemimpin masyarakat manakala di Batu Pahat untuk generasi muda dan di Johor Bahru pula untuk wakil entiti perniagaan.

"Justeru, UTHM adalah entiti terbaik mewakili generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dalam pelbagai kumpulan sosial dan ekonomi negara," tambahnya lagi.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.