Wednesday, January 2, 2013

322 Pelajar Persediaan Diploma daftar diri di UTHM




Seramai 322 orang pelajar baru telah mendaftar bagi mengikuti program Persediaan Diploma sesi 2013 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 30 Disember 2012 baru-baru ini

Daripada jumlah tersebut sembilan daripadanya merupakan pelajar tajaan UTHM yang terdiri daripada anak yatim dan piatu dari negeri Johor. Seramai 187 orang yang dipilih terdiri daripada pelajar lelaki dan selebihnya adalah pelajar perempuan. Kemasukan pelajar-pelajar ini diuruskan oleh K-UTECH EDU Sdn. Bhd, salah satu subsidiari UTHM Holdings syarikat milik penuh UTHM.

Program Persediaan Diploma merupakan program persediaan untuk diterima masuk ke UTHM dalam Program Pengajian Diploma. Para pelajar yang terpilih perlu menyempurnakan segala keperluan yang telah ditetapkan dalam program ini bagi membolehkan mereka melangkah masuk penuh ke UTHM dan bergelar seorang mahasiswa. Hanya mereka yang berjaya dan cemerlang akan diterima masuk ke UTHM untuk menyambung pengajian ke peringkat Diploma.

Para pelajar program ini akan mengikuti kelas selama 325 jam dan pengajaran dan pembelajaran mereka adalah berbentuk kuliah, tutorial dan amali. Mereka diberi pendedahan secara hands-on di makmal-makmal kejuruteraan dan turut didedahkan dengan beberapa kursus seperti Aplikasi Komputer, Keusahawanan serta Komunikasi Bahasa Inggeris,"

Program kali ketiga ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma di UTHM. Program ini juga adalah untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar merasai suasana pembelajaran di dalam kampus, di samping untuk mengukuhkan lagi tahap penguasaan mereka dalam bidang Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Asas Perisian komputer.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar tersebut perlu lulus dalam peperiksaan akhir dan mencapai piawaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dikehendaki bagi membolehkan mereka ditawarkan ke program-program pengajian Diploma di UTHM.

Untuk program yang lepas, seramai 172 orang yang merangkumi 90% pelajar Program Persediaan Diploma sesi 2012 telah diterima masuk untuk meneruskan pengajian peringkat Diploma di UTHM.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.