Wednesday, January 2, 2013

Kertas Kerja Penyelidikan Pasca Ijazah,UTHM terima anugerah Best Paper Award oleh MiCRA-2012




Kertas kerja pelajar pasca ijazah, Ng Bang Huat bersama penyelianya Profesor Madya Dr. Zainal Abidin Akashah dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima anugerah Best Award Paper di dalam persidangan Management in Construction Research Association (MiCRA-2012) yang diadakan baru-baru ini.
 
Kertas kerja yang telah terpilih menerima anugerah ini adalah dari Bahagian A yang berkaitan bidang penyelidikan Sustainability in Design, Planning, Construction & Materials, bertajuk “Post Occupancy Evaluation: A newly Designed Building Performance Survey Framework for Energy-Efficient Building.”

MiCRA-2012 ini telah disempurnakan oleh Dekan Razak School of Engineering and Advanced Technology, UTM; Profesor Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun bersama Pengerusi MiCRA, Profesor Dr. Christopher Preece.

Persidangan yang dianjurkan oleh Razak School of Engineering and Advanced Technology, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 hingga 6 Disember 2012 lalu. Persidangan ini bertujuan untuk menyediakan penanda-aras kepada pelajar pasca ijazah, terutamanya di dalam bidang Pengurusan Pembinaan untuk berkongsi maklumat dan bertukar pandangan terhadap tajuk penyelidikan yang mereka kaji.

Seramai 40 pembentang kertas kerja telah membentangkan kertas kerja masing-masing pada hari persidangan tersebut termasuk dari universiti-universiti penyelidikan di dalam dan luar negara. Persidangan ini adalah berkonsepkan bidang Kejuruteraan, Pembinaan, Rekabentuk serta Projek dan Pengurusan Komersial.

UTHM mengharapkan agar anugerah ini dapat memberi dorongan kepada para penyelidik lain dalam mempertingkatkan lagi penyelidikan pasca ijazah di universiti ini seiring dengan universiti penyelidikan yang lain tidak kira di dalam mahupun luar negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.