Monday, December 31, 2012

UTHM jalin kerjasama dengan KLIA Premier, IEM dan Sekolah Tinggi Teknik PLN, Indonesia

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd. dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 27 Disember lalu bagi menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perundingan, pembangunan kakitangan serta hubungan di peringkat kebangsaan.


Majlis menandatangani MoU itu dibuat sempena perasmian bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), UTHM. Pada majlis itu UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan Pendaftar, Encik Sulam Hamid manakala KLIA Premier pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Md. Hussin dan Ketua Pegawai Operasi, Haji Nazarudin Mohd. Nordin.

MoU ini akan membolehkan kedua-dua agensi bekerjasama dalam penyelidikan dan perundingan, pembangunan staf dan meningkatkan hubungan di peringkat kebangsaan meliputi bidang rekabentuk kejuruteraan awam, pengurusan projek, pengurusan pembinaan, kesihatan, keselamatan dan alam sekitar serta jaminan kualiti.

Pada masa sama, satu lagi MoU dimeterai antara UTHM dengan IEM bagi membolehkan kedua-dua agensi bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan perundingan serta pembangunan sumber pengajaran dan pembelajaran. IEM diwakili oleh pengerusinya, Ir. Vincent Chen Kim Kieong dan Pengarah Eksekutif, Ir. Cheang Kok Meng.

Turut diadakan upacara menandatangani surat hasrat antara UTHM dan Sekolah Tinggi Teknik PLN, Indonesia yang diwakili oleh Rektornya Dr. Ir. Supriadi Legino bagi membolehkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan teknologi sistem cakar ayam.


Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan tajaan bernilai RM8,200.00 daripada pihak Probase Manufacturing Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya Encik Yek Chen Sooi kepada Naib Canselor UTHM bagi tujuan pembinaan makmal ISO Pusat Penyelidikan Tanah Lembut Malaysia (RECESS MALAYSIA) yang akan dibangunkan kelak.


Sebelum MoU berlangsung, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Md. Hussin juga turut menyempurnakan upacara perasmian bangunan baharu FKAAS yang menelan belanja kira-kira RM110,000,00.00. Bangunan baharu fakulti ini mula dibina pada Oktober 2008 dan siap pada September 2009. Bangunan ini dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti bangunan pejabat pentadbiran, ruang akademia, bilik pensyarah, ruang pengajaran dan pembelajaran serta makmal-makmal.


Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus juga turut menyempurnakan perasmian makmal “Strong Floor” yang diberi nama Jamilus Research Centre (JRC). Makmal ini berperanan untuk menguji kekuatan dan kekukuhan struktur berat bahan kejuruteraan awam contohnya seperti konkrit bertetulang, keluli dan komposit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.