Sunday, December 2, 2012

Tiga beradik rai kejayaan bersama dalam Konvokesyen Ke-12 UTHM

Tiga beradik anak kepada pasangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Muar, Jaini Parmin,51 dan Asmah Md Rashid,51 menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana masing-masing di majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 3 dan 4 November baru-baru ini.

Lebih menarik tiga adik beradik tersebut Nurul Abidah Najihah,21 (diploma), Nur Afiqah,23 (ijazah sarjana muda) dan Nur Syuhada,25 (ijazah sarjana) mengambil kursus pengajian yang sama iaitu Kejuruteraan Elektrik.

Pasangan guru itu mempunyai lima orang anak iaitu yang bongsu sedang mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) juga di UTHM manakala seorang lagi anaknya menjadi pelatih dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pagoh.


Sementara itu, Nur Afiqah dan Nurul Abidah Najihah berkata kakak mereka sering menjadi contoh kepada adik beradik yang lain. Mereka tiga beradik tinggal di rumah sewa yang sama sewaktu pengajian di UTHM sekaligus memudahkan mereka untuk mengulang kaji bersama. Apabila ditanya tentang perancangan masing-masing selepas ini, mereka menyatakan hasrat ingin terus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UTHM.

"Kami sudah biasa dengan suasana pembelajaran di kampus ini. Segala kemudahan sudah tersedia dan mencukupi manakala tenaga pengajarnya pula sememangnya sangat profesional," kata mereka lagi.

Dalam pada itu, Jaini yang merupakan guru reka cipta juga pernah menuntut di universiti ini tetapi pada ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

"Saya mendapat ijazah hanya setelah berusia 43 tahun dan sangat gembira kerana anak-anak turut menyambung pengajian di sini. Saya cabar anak-anak untuk berjaya kerana keluarga kami asalnya bukanlah daripada orang senang dan Alhamdulillah nampaknya mereka mahu menyahut cabaran ini," katanya.

Manakala Asmah pula mengaku sebagai seorang ibu dia sering mendoakan kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat.

"Saya selalu mendoakan mereka dan selebihnya tentulah diri mereka sendiri yang perlu berusaha gigih," katanya yang merupakan guru biologi di sekolahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.