Sunday, December 2, 2012

TechRural ketengah penemuan teknologi hijau dan inovatif bagi komuniti desa


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menganjurkan Ekspo Teknologi Inovasi Desa 2012 (TechRural 2012) pada 18 hingga 21 November lalu bagi mengetengahkan penemuan inovatif yang meletakkan keutamaan kepada konsep teknologi hijau.

Jalinan kerjasama ini membabitkan pemindahan ilmu pengetahuan dan teknologi terkini selain pelbagai penyelidikan dapat dilaksanakan. Bertepatan dengan tema "Penemuan Inovatif dan Hijau bagi Komuniti Desa," penganjuran TechRural 2012 ini menjadi platform kepada penyelidik, perekacipta, pengusaha, pelajar dan masyarakat sekeliling untuk mempamer produk masing-masing sekaligus mengetengahkan produk-produk luar bandar yang rata-ratanya mempunyai nilai kreatif dan kebolehpasaran yang tinggi.


 
Timbalan Menteri KKLW, Dato' Hasan Malek berkata usaha yang dilaksanakan oleh UTHM ini adalah bertepatan dengan misi KKLW iaitu "Meningkatkan Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar Secara Menyeluruh dan Berkesan." Program seumpama inilah yang akan memastikan produk-produk luar bandar menjadi lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun beliau berpendapat inovasi teknologi desa yang akan diketengahkan ini perlu disertakan dengan teknologi hijau yang memberi fokus kepada alam sekitar sebagai sasaran utama.

"Sektor yang dilihat berpotensi adalah berasaskan makanan, pertanian, pembuatan dan penghasilan. Justeru, semua bidang ini perlu dirangka sebaik mungkin dan perlu sejajar dengan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan," katanya ketika merasmikan Ekspo TechRural 2012 dan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (ICME 2012) yang diadakan pada 19 November lalu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.


Hadir sama ke majlis perasmian tersebut Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB. Datuk Abdul Aziz Kaprawi merangkap ADUN kawasan Parit Raja; Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Profesor Madya Dr. Yusri Yusof.

Pameran dan ekspo inovasi yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan seramai 67 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan penyelidik UTHM, agensi luar termasuk beberapa sekolah dan institusi pendidikan yang lain. Antara produk-produk inovatif yang menjadi tumpuan pengunjung adalah seperti Mesin Pembakar Sate, Mesin Pengasing Bertih Jagung, pinggan dan beg kertas berasaskan tandan pisang/daun nenas, Mesin Pengekstrak Tebu, Prototaip Alat Penggulung Surat Khabar Lama dan Penukul Automatis Kraf Kepingan Tembaga.

Sementara itu, berkesinambungan dengan TechRural 2012, UTHM melalui FKMP juga menganjurkan ICME 2012 yang bertemakan "Kejuruteraan Lestari ke Arah Teknologi Hijau".




Persidangan yang diadakan buat kali ketiga ini menjadi wadah bagi pembentangan kertas kerja penyelidikan oleh para penyelidik dan ahli industri dari dalam mahupun luar negara dengan tujuan untuk berkongsi idea, pengalaman dan hasil penyelidikan masing-masing. Ia juga bertujuan untuk membina jaringan penyelidikan yang lebih luas agar dapat memberi faedah kepada UTHM khususnya dan juga negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.