Sunday, December 2, 2012

Pelajar UTHM Naib Johan Akademi Sastera 2012

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjadi IPT kedua terbaik negara dalam pertandingan akhir Akademi Sastera 2012 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Peserta UTHM iaitu Nurul Nazerah Binti Nazari, pelajar tahun tiga Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan telah berjaya mengalahkan 6 peserta lain untuk muncul sebagai Naib Johan pada pusingan akhir yang diadakan di Dewan Dato' Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 22 November 2012 yang lalu.

Selain menerima hadiah piala iringan dan cenderahati beliau juga berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500. Apa yang lebih membanggakan dalam pencapaian ini adalah kehebatan peserta UTHM yang bukan berlatar belakangkan pengajian kesusasteraan telah berjaya menguasai bidang berkenaan dan mengungguli kedudukan kedua terbaik antara IPT dalam negara. Johan disandang oleh saudari Rabi'ahtuladawyah Md Salleh dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) yang membawa pulang Piala Menteri Pengajian Tinggi dan wang tunai berjumlah RM3,000. Hadiah dan cenderamata disampaikan oleh Ybhg. Dato' Prof. Dr. Rujhan Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi mewakili YB Menteri Pengajian Tinggi.

Sebelum itu saudari Nurul Nazerah telah berjaya melepasi pusingan saringan yang disertai oleh 33 orang peserta dari 18 buah IPT termasuk IPTS. Beliau dibimbing oleh Mentor Pembimbing Profesor Madya Dr. Hussain Othman dan Pembantu Pembentangan Siti Nur Ain binti Hashim. Akademi Sastera 2012 merupakan pertandingan realiti berbentuk "Akademi Fantasia" atau "Mentor" yang menumpukan kepada kemahiran mengkritik karya sastera, menulis kertas kajian dan membuat pembentangan yang kreatif dan kritis. Peserta UTHM memilih untuk mengkaji dan mengkritik teks klasik kesusasteraan Melayu yang bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa dengan menggunakan pendekatan Teori Masa Kitaran (Cyclical Theory of Time) dalam perspektif kosmologi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.