Monday, December 31, 2012

Warga FPTV UTHM sumbang RM3786.00 kepada Tabung Gaza




Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyerahkan kutipan sumbangan Tabung Gaza, We Care! berjumlah RM3786.00 Kepada wakil Aqsa Sharif (AQSA),UTHM; Profesor Madya Dr. Jiwa Abdullah dalam satu majlis penutup Program Bicara Ilmu Kajian Tindakan yang telah diadakan di Kampus induk pada 19 Disember lalu.

 
Untuk rekod, Aqsa Sharif merupakan satu organisasi sukarelawan yang bernaung di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia, bertujuan untuk menyebar maklumat, menyalurkan bantuan kewangan dan kemanusiaan serta menyumbang tenaga dan fikiran untuk kebaikan Palestin dan dunia secara amnya. 

Pelbagai program dan projek telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Aqsa Syarif antaranya memberi bantuan kemanusiaan melalui penghantaran bekalan makanan, perubatan dan keperluan pendidikan. Aqsa Syarif berusaha mengumpul dana daripada rakyat dan pelbagai agensi awam dan swasta di Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat di bumi Palestin dan di kem-kem sementara di luar negara seperti di Beirut, Jordan dan Syria. Antara misi dan projek yang sedang dilaksanakan ialah “AQSA2Gaza Emergency Releif-Selamatkan Kanak-kanak Gaza,” “Malaysian-Palestinian Village Industry (MyPVI)” dan “Projek Penajaan Keluarga Miskin dan Anak Yatim Palestin”. 

Dekan FPTV, Dr. Razali Hasan hadir bagi menyempurnakan upacara penyerahan sumbangan tersebut yang diadakan di Bilik Seminar FPTV. Turut hadir menyaksikan upacara penyerahan tersebut Penolong Pengarah, Unit Penyelidikan Makro, Bahagian Pembangunan dan Pendidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia; Dr. Roslee Ibrahim.


Pengerusi Kutipan Tabung Gaza, We Care! peringkat FPTV, Encik Nornizam Jamal berkata seluruh warga fakulti menyambut baik segala usaha yang dilakukan oleh tenaga kerjanya terutamanya Encik Shafiee Idris; Pengerusi Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), saudara Izzar Idris dan termasuklah semua ketua seksyen Program DPLI.  

“Wang sumbangan tersebut berjaya dikumpul dalam masa dua minggu selepas pelancaran tabung dibuat. Justeru, saya mewakili pihak fakulti ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh para pensyarah dan pelajar-pelajar. Semoga program ini dapat membantu saudara-saudara di Aqsa yang sangat memerlukan,” katanya.

Turut diadakan sebelum upacara tersebut ialah satu program Bicara Ilmu "Kajian Tindakan; suatu sesi pendedahan kajian tindakan yang sebenar di Malaysia dan peluang-peluang yang boleh diperolehi oleh guru-guru di Malaysia ini". Ceramah yang disampaikan oleh Dr. Roslee Ibrahim ini disertai oleh kira-kira 70 orang pelajar program DPLI.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.