Tuesday, December 25, 2012



UTHM sambut 'Hari Televisyen Dunia' 2012PrintE-mail
Hear this article
Selaras dengan sambutan "Hari Sedunia" yang telah ditetapkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah menganjurkan ‘Hari Television Dunia' pada 27 November lalu bertempat di kampus induk UTHM.

‘Hari Televisyen Dunia' yang dianjurkan UTHM buat kali ketiga sejak tahun 2010 ini mengetengahkan televisyen sebagai satu teknologi elektronik yang menjadikan dunia sebagai sebuah perkampungan global. Hari ini teknologi televisyen kian berkembang pesat terutama setelah berkembangnya teknologi komputer yang membawa kepada revolusi baru gelombang maklumat dan telekomunikasi. Atas dasar inilah UTHM terpanggil untuk meningkatkan kesedaran warga UTHM dan para pengunjung tentang kepentingan dan peranan  teknologi maklumat dalam kehidupan manusia.

Majlis perasmian yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin. Beliau dalam ucapannya berkata selari dengan revolusi komputer, komunikasi dan perkembangan teknologi maklumat, UTHM juga tidak ketinggalan mewujudkan televisyen internet yang boleh dicapai di mana sahaja, dikenali sebagai University Campus Interactive TV (UCiTV).

"UCiTV berperanan memaparkan pelbagai rakaman video aktiviti akademik dan program-program anjuran universiti. Kemampuan yang dimiliki oleh UCiTV ini juga membolehkan pengunjung portal dari seluruh dunia menyaksikan acara-acara utama UTHM secara langsung melalui laman web UTHM yang beralamat di www.uthm.edu.my," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak SHARP Manufacturing Corporation (M) Sdn. Bhd, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa institusi dan syarikat swasta lain yang terlibat dalam menjayakan program sambutan ini.

Turut hadir di majlis perasmian tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly; Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim; Dekan FKEE, Profesor Ayob Johari dan Pengarah Urusan SHARP Manufacturing Corporation (M) Sdn. Bhd. Mr. Katsutoshi Teraoka.


Untuk rekod, sejarah program ini diwujudkan apabila UNESCO telah menetapkan senarai ‘International Days, Years and Decades to be Celebrated' sebagai panduan bagi semua warga dunia menyambut dan memperingati sesuatu peristiwa atau pencapaian dalam pembangunan tamadun dunia. Selaras dengan misi UNESCO ini, ‘Hari Televisyen Dunia' telah ditetapkan dan disambut di seluruh dunia pada 21 November setiap tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.