Tuesday, December 25, 2012

International Civil Aviation Day 2012 Selami Kepentingan Dunia Penerbangan Awam






Bersempena sambutan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘International Civil Aviation Day 2012’ pada 10 Disember lalu bertempat di kampus induk UTHM.

Untuk rekod, sambutan ‘International Civil Aviation Day’ ini diraikan di seluruh dunia pada 7 Disember setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penerbangan awam antarabangsa dalam pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi kepada sebuah negara. Sebagai menyokong sambutan ini, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM bersetuju menganjurkannya di peringkat universiti pada setiap dua tahun  sekali.


 

Penganjuran program yang bertemakan “Aviation; Your Reliable Connection to the World” ini memberi penekanan kepada perkembangan pesat teknologi penerbangan yang telah menjadikan perjalanan ke seluruh dunia semakin selamat.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, program sambutan ini sangat penting kepada warga universiti dan masyarakat agar segala maklumat mengenai sektor penerbangan di Malaysia dapat didedahkan kepada umum.  

“Selaras dengan perkembangan pesat teknologi penerbangan, UTHM terutamanya Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, FKMP perlu lebih gigih meneroka dan memberi pendedahan kepada masyarakat agar mereka dapat menjadi pengguna awan biru yang bijak di samping dapat menarik minat mereka untuk menceburi bidang ini sebagai peluang kerjaya,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Turut hadir ke majlis tersebut Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim; Dekan FKMP, Profesor Madya Dr. Yusri Yusof serta beberapa pegawai kanan universiti.

Sambutan hari tersebut turut dimeriahkan dengan beberapa program seperti Ceramah Perdana bertajuk “Kelestarian Aktiviti Penyenggaraan Pesawat Terbang di Malaysia” yang disampaikan oleh Encik Mohd. Razman Osman selaku wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif AIROD Sdn. Bhd dan pameran daripada agensi-agensi berkaitan penerbangan awam Malaysia seperti Malaysian Aviation Training Academy Sdn. Bhd. (MATA), Asia Pacific Flight Training dan Dilog Training and Services (DTS). 

Turut diadakan, acara seperti Pertandingan Kapal Terbang Kertas, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Melukis khas untuk para pelajar sekolah dan juga anak-anak kakitangan UTHM.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.