Sunday, December 2, 2012

UTHM tuan rumah Seminar Qiraat peringkat kebangsaan

Dalam usaha menjadikan negeri Johor sebagai Hub Pendidikan Al-Quran, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Qurra Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Qiraat Kebangsaan dan Persatuan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor bersepakat menganjurkan Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 pada 6 hingga 7 November lalu di kampus induk UTHM.



Seminar yang bertujuan memperkenalkan ilmu-ilmu Al-Quran ini telah menghimpunkan seramai kira-kira 1500 orang peserta yang datang dari seluruh negeri Johor. Bertemakan "Al-Quran, Qiraat dan Masyarakat: Penghayatan dan Pemerkasaan," seminar ini mengajak para peserta meningkatkan mutu dan kualiti pembacaan Al-Quran di samping memupuk kesedaran dan minat membaca, memahami dan menghayati kitab ini dengan lebih mendalam.


Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Dato' Haji Zainal Abidin Osman selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor telah menyempurnakan upacara perasmian seminar tersebut. Beliau dalam ucapannya berkata negeri Johor adalah negeri pertama di Malaysia secara rasminya melancarkan program Membudayakan Al-Quran yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar pada 6 Februari 1996. Selain itu negeri ini juga sebelum ini mempunyai sejarah kecemerlangan legasi para Qari dan Qariah di peringkat negara mahupun antarabangsa.

"Justeru, program membudayakan Al-Quran ini diteruskan pelaksanaannya setelah lebih 15 tahun dianjurkan di Johor ini. Program ini merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha memartabatkan kitab suci ini selain untuk melahirkan para Qari dan Qariah Al-Quran yang berkemahiran dalam bidang qiraat," katanya.

Turut hadir ke majlis perasmian tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, Pengarah Jabatan Agama Johor, Dato' Haji Abdul Razak Hassan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ Pengerusi Persatuan Qurra' Negeri Johor, Syed Ahmad Syed Abdullah Al-'Aidrus.


Majlis perasmian tersebut menyaksikan sebanyak tiga kertas utama dibentang melibatkan tiga orang pembentang iaitu Mufti Negeri Johor, Dato' Haji Tahrir Dato' Kiyai Haji Samsudin yang membentangkan tajuk "Kualiti Pembacaan Al-Quran di Malaysia: Wacana Pengalaman Peribadi" diikuti dengan Dato' Sallehuddin Omar dari Institut Qur'an Bersanad dengan tajuk "Kepentingan Sanad di dalam Ilmu Al-Quran" dan Ustaz Mohd. Rahim Jusoh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan tajuk "Al-Quran Memartabatkan & Mengiktiraf Ahlinya di Malaysia: Satu Cadangan."

Selain itu beberapa slot pembentangan yang melibatkan beberapa penceramah juga turut menyusul memenuhi jadual acara sepanjang dua hari program berlangsung. Turut diselitkan, persembahan qiraat dan juga tilawah Al-Quran menggunakan Braille daripada qari jemputan dan pelajar Sekolah Princess Elizabeth Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.