Sunday, December 2, 2012

UTHM terima peruntukan RACE, laksana tujuh projek penyelidikan

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah meluluskan tujuh projek penyelidikan di bawah program Research Acculturation Collaborative Effort (RACE) kepada Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini bagi membolehkan para penyelidik menjalankan projek-projek penyelidikan.

Jawatankuasa penilaian RACE di bawah KPT yang bertanggungjawab melaksanakan latihan dan pemantauan penyelidikan telah bersetuju meluluskan projek penyelidikan tersebut dengan memberi peruntukan berjumlah RM308,000.00 kepada UTHM.

Sebagai sebuah Universiti Berfokus, UTHM sentiasa berusaha untuk menjadikan institusi ini sebagai sebuah Universiti Penyelidikan (RU), sebaris dengan Universiti RU sedia ada iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Selaras dengan matlamat itu, UTHM akan menggunakan peruntukan yang diberi dengan sebaik-baiknya dalam melaksanakan projek-projek penyelidikan yang berjaya tersenarai. Tujuh orang penyelidik UTHM telah diberi kepercayaan untuk mengetuai tujuh kumpulan projek yang berjaya berada di bawah program RACE ini. Manakala ahli projek setiap kumpulan tersebut pula terdiri daripada penyelidik dari Universiti RU dan Bukan RU.

Tajuk projek yang berjaya tersenarai adalah seperti "Characterisation and Assessment of Malaysia Dredged Marine Clay as Reusable Geomaterials for Sustainable Construction, Development of Green Commercial Property Management Framework in Malaysia," "Advanced FPGA implementation on Optical Tomography, Hybrid Intelligent Vehicle Tracking and Routing Control Systems based on Bio-Inspired Computing Approaches," "A New Approach for Improving Performance and Fuel Economy of Small Engines using a Retrofit Fuel Injection System," "Integrated Antenna Technology for Automotive Systems" dan "The Effects of Cr Addition on Corrosion Resistance, Solidification Rate, Microstructure and Mechanical Properties of Aluminium Alloy."

Objektif program RACE yang diperkenalkan oleh KPT ini adalah untuk mewujudkan rangkaian kerjasama yang lebih berkesan antara institut pengajian tinggi awam melalui program dan projek penyelidikan secara usahasama, perkongsian fasiliti penyelidikan dan kepakaran ke arah meningkatkan pembudayaan penyelidikan menerusi kerjasama Universiti RU dan Universiti Bukan RU.

Usaha ini juga bertujuan untuk meningkatkan output hasil penyelidikan multidisiplin yang merangkumi penerbitan, penemuan inovasi, geran penyelidikan, bilangan ketua penyelidik (PI) dan seumpamanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.