Tuesday, December 25, 2012

Delegasi Cendakiawan Islam Indonesia kunjungi UTHM


Delegasi Cendakiawan Islam yang terdiri daripada para pemimpin Al-Khidmah seluruh Indonesia telah mengunjungi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM ) pada 11 Disember 2012 lalu bagi mengeratkan hubungan antara dua buah negara dalam usaha memartabatkan lagi  sistem pendidikan institusi masing-masing.





Rombongan yang diketuai oleh wakil Rektor 1, Universitas Wahid Hasyim, Semarang; Profesor Dr. Mahmutaram Harun Al-Rashid disertai oleh para pemimpin yang berkait rapat dengan Pondok Pesantren Al-Fitrah yang terletak di Kedinding, Surabaya. Pondok Pesantren yang telah melahirkan puluhan ribu alumni semenjak awal penubuhannya ini merupakan sebuah pusat pengajian milik bukan kerajaan.

Untuk rekod, Pondok Pesantren Al-Fitrah yang didirikan oleh pengasasnya, Kiyai Hj. Ahmad  Asrori bin Muhammad Uthman Al-Ishaqi Rahimullah Taala’ ini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan UTHM. Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin sebelum ini pernah diundang sebagai tetamu kehormat dalam Majlis Hol pengasas Pondok Pesantren tersebut. Dalam majlis itu, beliau telah diberi penghormatan tertinggi untuk berucap di hadapan  kira-kira 500,000 peserta yang hadir dan  turut diberi peluang untuk memperkenal dan mempromosikan UTHM.

Kedatangan delegasi seramai 19 orang itu disambut mesra oleh Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh dan beberapa pegawai kanan universiti. Beliau dalam ucapan alu-aluannya memperkenalkan UTHM dengan menerangkan secara ringkas tentang sejarah penubuhannya dan program pengajian yang ditawarkan. Beliau turut mencadangkan kepada delegasi untuk bekerjasama mengadakan lawatan  akademik  pada masa akan datang ke beberapa buah pondok pengajian yang terdapat di Malaysia dan Indonesia di samping mengharapkan pertemuan tersebut dapat menjana idea baru yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi ini.

 
Ucapan balas turut diberikan daripada wakil delegasi, Profesor Dr. Mahmutaram Harun Al-Rasyid. Beliau mencadangkan agar UTHM turut mewujudkan program kerjasama dalam mengadakan seminar, perkongsian kepakaran, pertukaran pelajar/pensyarah, penyelidikan dan penerbitan jurnal dengan beberapa universiti ternama di Indonesia seperti Universitas Wahid Hasyim di Semarang dan Universitas Islam Darul Ulum Lamongan.

Turut diadakan satu slot sesi soal jawab antara delegasi dan Naib Canselor UTHM berkaitan program kerjasama yang dirancang bagi menambahbaik mutu, halatuju dan misi masing-masing dalam memajukan institusi, agama dan juga negara.



E-mail

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.