Tuesday, December 25, 2012

UTHM jalin kerjasama strategik dengan MPOB, MARDI dan FRIM






Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi penyelidikan dan pembangunan teknologi penuaian sawit pada 23 Oktober lalu di Bangi, Selangor.


Majlis menandatangani perjanjian berkenaan adalah bersempena Perasmian Seminar Kebangsaan mengenai Mekanisasi Ladang Sawit. Pada majlis itu UTHM diwakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin manakala MPOB diwakili oleh Ketua Pengarah, Datuk Dr. Choo Yuen May dan disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.


Profesor Dato’ Dr Mohd Noh berkata perjanjian berkenaan  dijalin bertujuan mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan mengenai mekanisasi perladangan terutama teknologi penuaian sawit. Katanya lagi, dengan kepakaran dan sumber yang dimiliki kedua belah pihak, kerjasama ini diharap akan menyumbang kepada perkembangan penyelidikan dalam bidang mekanisasi perladangan. 

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Mohd Sanuri Shahid.

Sementara itu, dalam usaha mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta latihan sumber manusia, UTHM juga menjalin kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada 15 Oktober lalu di WISMA KLIA Holdings, Bandar Baru Bangi.

Kerjasama ini membolehkan pelajar dan kakitangan UTHM menimba pengalaman dalam industri teknologi makanan melalui penempatan latihan industri, penyertaan dalam seminar dan penerbitan bahan penyelidikan. Naib Canselor UTHM bersama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman mewakili institusi masing-masing menandatangani perjanjian kerjasama tersebut.

Pada masa yang sama, satu lagi jalinan kerjasama dimeterai antara UTHM dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), juga bertujuan mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta latihan sumber manusia.

Upacara menandatangani dokumen tersebut turut diwakili oleh Naib Canselor UTHM manakala FRIM pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Abd. Latif Mohmod. 


Perjanjian antara FRIM dan UTHM yang melibatkan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan ini akan membolehkan kerjasama dalam bidang penyelidikan terutamanya dalam bidang sains dan biodiversiti pada peringkat industri. Kerjasama yang dirancang termasuklah latihan dan pembangunan pegawai dan pelajar, latihan industri pelajar, pembangunan teknologi dan industri, penganjuran seminar, penerbitan, penyeliaan pelajar dan lain-lain aktiviti berkaitan dengan R&D perhutanan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.