Sunday, December 2, 2012

Pemangku Raja Johor sempurnakan sidang pertama Majlis Konvokesyen ke-12

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor selaku Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam titahnya mengingatkan semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka agar tidak lupa terhadap jasa dan pengorbanan ibu bapa sepanjang mereka menuntut ilmu.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail juga mengingatkan graduan agar tidak mengamalkan sikap berpada dengan ilmu dan kepakaran yang telah dicapai. Sebaliknya budaya pembelajaran sepanjang hayat yang diterapkan oleh pihak kerajaan perlu dihayati dan diamalkan.

"Peluang bagi para graduan untuk meningkatkan lagi ilmu kepakaran amat terbuka luas di Malaysia, justeru tingkatlah ilmu dan pengetahuan yang ada dengan menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi di samping memperluaskan lagi bidang kepakaran masing-masing melalui kursus-kursus professional yang diadakan," titahnya  ketika menyempurnakan sidang pertama Majlis Konvokesyen ke-12 UTHM.

Pro-Canselor juga mengingatkan kepada graduan agar tidak lupa tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara dengan  menyalurkan  sumbangan tenaga dan kepakaran yang ada dengan melakukan kerja-kerja sukarela, sama ada melalui pertubuhan-pertubuhan ataupun badan-badan profesional.

Seramai 2775 orang siswazah menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (7 orang), Sarjana (370 orang), Sarjana Muda (2074 orang) dan Diploma (324 orang).

Manakala anugerah kecemerlangan akademik yang tersenarai pula ialah Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor,  Anugerah Puan Sri Sapura, Anugerah Tan Sri Dato' Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Khas Alumni (kategori pelajar).

Sidang dewan kali ini juga menyaksikan Profesor Ir. Mohammad Zainal Md. Yusof dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) menerima Anugerah Profesor Emeritus sebagai menghargai segala jasa dan sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan khususnya di bidang kejuruteraan Mekanikal.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Y.A.B. Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.