Sunday, December 2, 2012

UTHM meterai Memorandum Perjanjian dengan PTNJ

Duli Yang Amat Mulia Tunku Canselor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor hadir menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) sejurus selesai menyempurnakan sidang pertama konvokesyen ke-12 UTHM.

UTHM diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin manakala PTNJ pula diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato' Haji Obet Tawil. Upacara Menandatangani MoA tersebut disaksikan oleh DYAM Tunku Ismail yang juga merupakan salah seorang Pro-Canselor, UTHM, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus Md. Hussin dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim.

MoA yang dimeterai ini bertujuan mewujudkan kerjasama di antara UTHM dengan PTNJ bagi menggalakkan kajian serta program sebaran maklumat yang menjurus kepada kepelbagaian biologi, persekitaran, sumber semulajadi, eko pelancongan, sosial, pendidikan, geologi, arkeologi pembangunan dan pengurusan mapan di Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER).

Melalui memorandum ini pelbagai aktiviti telah dirancang seperti program usaha sama dalam membangunkan makmal lapangan, stesen kaji cuaca dan sistem hibrid mikrohidro, penyelidikan dan penerbitan, latihan dan ekspedisi, usaha konservasi dan pemuliharaan, kajian sains sosial dan kemasyarakatan serta penganjuran aktiviti berbentuk pendidikan alam.

Untuk rekod UTHM sebelum ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PTNJ bagi menjalankan beberapa aktiviti menyelidik sumber semulajadi di taman yang dianggarkan berusia 248 juta tahun itu. Dalam merealisasikan perjanjian tersebut, UTHM ketika ini sedang melaksanakan beberapa kajian seperti pemuliharaan dan penggunaan lestari biodiversiti taman, fungsi evolusi, ekologi dan ekofisiologi hutan hujan tropika, kajian sosioekonomi dan kehendak orang asli Etnik Jakun serta kajian isu hak tanah adat di kawasan TNJER ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.