Tuesday, November 10, 2009

NC UTHM Lawat Staf Cuti Belajar di Jepun



Seramai 15 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing di Jepun tidak melepaskan peluang beramah-mesra bersama Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin di sini baru-baru ini.
Pertemuan yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Shibuya, Jepun itu juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai isu sara hidup di jepun, mobiliti staf universiti, kelestarian penyelidikan dan sebagainya.

Hadir sama Puan Siti Zaharah bt Omar dan Encik Redhauddin Kamaruzaman dari Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo. Selain daripada itu, pertemuan turut diatur bersama staf UTHM yang belajar di universiti di bandar Kyoto.
Profesor Dato' Dr. Mohd Noh berkunjung ke Jepun bagi memenuhi jemputan pihak penganjur persidangan "6th Annual Meeting of the Science and Technology in Society (STS) Forum" yang bermula dari 4 hingga 6 Oktober 2009.

Mohd Noh yang turut diiringi oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Mustaffa Ibrahim dan Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Hartabina, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi bin Abd. Karim juga meninjau peluang untuk menjalin hubungan antarabangsa serta kerjasama pendidikan dan penyelidikan dengan universiti-universiti di negara matahari terbit itu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.