Thursday, November 12, 2009

Warga UTHM Semarakkan Program Senam Robik dan Perhimpunan Bulanan






Umum telah mengetahui salah satu elemen untuk meningkatkan kecergasan dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang baik adalah melalui senaman. Terdapat pelbagai jenis senaman yang boleh diamalkan dan salah satu daripadanya ialah senam robik. Senam Robik bukan sesuatu yang asing di kalangan masyarakat di negara ini sekarang malah ia telah menjadi satu trend bagi semua peringkat umur.

Di UTHM program senam robik mingguan telah dikelolakan oleh Pusat Kokurikulum, Sukan dan Kebudayaan. Oleh itu, sempena perhimpunan bulanan pihak Pengurusan Universiti telah bersetuju untuk mengadakan Program Senam Robik yang bakal diadakan setiap bulan bermula pada bulan November ini. Kira-kira 1000 orang staf Universiti telah menyertai program ini yang telah diadakan pada 3 November 2009 (Selasa) yang lalu. Program telah dimulakan pada jam 7.45 pagi bertempat di Dataran Masjid UTHM. Sambutan yang di luar jangkaan ini menandakan bahawa warga Universiti memang mengharapkan program seumpama ini diadakan. Seluruh warga Universiti khususnya staf melahirkan rasa gembira dan menyokong kewujudan program seumpama ini yang banyak memberi manfaat kepada mereka khususnya bagi memastikan mereka kekal cergas dan cerdas serta dapat meningkatkan stamina terutamanya ketika menjalankan tugas seharian. Program ini bukan sahaja dapat melahirkan warga Universiti yang sihat malah dengan cara ini seluruh warga Universiti dapat berkumpul bersama dan merapatkan hubungan yang sediada terjalin.

Pihak Pengurusan Universiti telah menyediakan minuman mineral serta buah untuk dinikmati oleh semua peserta selepas tamat Program Senam Robik. Selepas itu, program telah diteruskan dengan Perhimpunan Bulanan di mana YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM telah menyampaikan ucapan bulanan. Dalam ucapannya, beliau menggesa semua staf untuk memberi perhatian terhadap Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini dan mengambil ikhtibar daripada kelemahan yang dinyatakan dalam laporan tersebut supaya semua penjawat awam dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

Bersempena dengan Program Senam Robik dan Perhimpunan Bulanan, Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Pendaftar telah mengadakan Kaunter Bersama Pelanggan bertempat di Dataran Anggerik. Kaunter tersebut dibuka bertujuan untuk memberi peluang kepada semua staf mengajukan sebarang pertanyaan yang bersesuaian, menyatakan masalah yang mereka hadapi serta sebarang cadangan bagi penambahbaikan pentadbiran organisasi. Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter Unit Pengurusan dan Perkhidmatan Pelanggan, Unit Cuti Belajar, Unit Perjawatan dan Perkhidmatan, Unit Perhubungan Awam, Unit Komunikasi Korporat, Unit Pentadbiran dan Pemesyuaratan serta beberapa kaunter lagi. Aktiviti kaunter tamat pada jam 1.00 petang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.