Tuesday, November 10, 2009

UTHM Suburkan Budaya Intelektual melalui Siri Ceramah Perdana


Sebagai sebuah Intitusi Pengajian Tinggi, aktiviti percambahan ilmu dan penyuburan budaya intelektual menjadi agenda yang sangat penting. Dalam usaha melahirkan para graduan yang unggul, suasana mesra ilmu perlu sentiasa dipupuk khususnya di dalam persekitaran kampus. Selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, para ahli akademik dan pelajar perlu lebih proaktif dalam membudayakan sifat kecintaan terhadap ilmu pengetahuan. Ini merupakan satu cabaran dan tanggungjawab yang harus digalas oleh setiap warga universiti bagi memastikan keinstitusian ilmu dan peradaban di sesebuah universiti itu dihormati.

Bagi menyahut cabaran ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengaturkan siri ceramah perdana yang akan melibatkan hampir semua Profesor di universiti ini. Setiap pemidato ceramah perdana ini akan membentangkan topik yang berkaitan bidang kepakaran masing-masing. Kesemua siri ceramah perdana ini juga diringi dengan penerbitan buku ceramah perdana yang diedarkan kepada semua hadirin sesi ceramah tersebut.

Keistimewaan siri Ceramah Perdana ini dalam sudut percambahan ilmu adalah pada aspek persembahan dan penyampaian para pemidato yang diolah dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh para hadirin yang berbeza latar pendidikan dan bidang pengajian. Selain daripada itu, penerbitan buku ceramah perdana yang telah disunting menjadi terbitan ilmiah yang tidak terlalu teknikal dan kompleks juga telah memudahkan para pembaca memahami topik yang disampaikan.

Berikut adalah para pemidato yang terlibat dalam siri ceramah perdana UTHM bagi tahun 2009 ini:


1. Nama Pemidato :Prof. Dr. Mustafa bin Mat Deris
Tarikh : 06/11/2009
Tajuk : Computer Systems : How Good Am I?

2. Nama Pemidato :Prof. Dr. Abdul Aziz bin Dato' Abdul Samad
Tarikh :20/11/2009
Tajuk :The Use of Industrialised Building Systems in Malaysian Construction Industry (R&D Perspectives)

3. Nama Pemidato :Prof. Dr. Mohammad Zarar bin Mohd. Jenu
Tarikh :11/12/2009
Tajuk :Electromagnetic Pollution : The Agony of Being Defenseless Against A Silent Killer



Pada tahun 2010, UTHM akan meneruskan siri ceramah perdana ini dengan membariskan sekurang-kurangnya enam Profesor pemidato yang akan menyampaikan syarahan masing-masing. Siri ceramah yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM Parit Raja, Batu Pahat ini terbuka untuk dihadiri oleh sesiapa yang berminat dengan topik yang akan disampaikan dan maklumat lanjut berkenaan siri ceramah ini boleh diketahui dengan melayari laman web UTHM di alamat http://www.uthm.edu.my//.

Penganjuran siri ceramah perdana ini amat bertepatan dengan pelaksanaan transformasi Kementerian Pengajian Tinggi dalam memacu pembangunan modal insan dengan minda kelas pertama seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.