Monday, January 3, 2011

EMC UTHM jadi ahli dalam Malaysian Technical Standards Forum Bhd.

UTHM melalui Pusat Keserasian Elektromagnetik (EMC) telah diterima menjadi ahli bersekutu (Associate Member) dalam Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) mulai 21 Disember 2010.

MTSFB secara rasminya diberi peranan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 27 Oktober 2004 untuk mengawasi polisi nasional dan objektif kawalan kendiri mengikut seksyen 94 dan 184 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MTSFB bertanggungjawab bagi menyedia dan menyelenggara kod teknikal dan standard selain mengenal pasti isu-isu operasi antara rangkaian telekomunikasi.

Pada masa ini keahlian MTSFB adalah terdiri dari badan korporat, individu dan pusat penyelidikan yang diletakkan di bawah 19 kumpulan kerja.

UTHM melalui EMCcenter akan berada di bawah WIRELESS INDUSTRY EMISSION WORKING GROUP. Dengan perkembangan ini, UTHM akan dapat memberi sumbangan yang lebih aktif dan berkesan kepada pembangunan sektor telekomunikasi, multimedia dan penyiaran di negara ini.

Pusat yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Zarar Mohd Jenu ini telah ditubuhkan sebagai pusat yang menyediakan kemudahan-kemudahan pengujian bagi pra-pematuhan dan pematuhan EMC kepada pengeluar-pengeluar yang ingin menjalankan ujian di peringkat rekabentuk dan pengeluaran ke atas produk-produk mereka. Ia bukan sahaja mengurangkan kos pengujian ke atas produk-produk gagal-uji, bahkan ia turut mempertingkatkan kebolehupayaan pembangunan dan pengeluaran bagi sesebuah syarikat. Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan nilai tambah seperti khidmat rundingan dan membaik pulih kegagalan sesuatu produk.

Ia adalah pusat kecemerlangan yang pertama diwujudkan di UTHM dan sehingga kini adalah merupakan peneraju dalam bidang EMC di negara ini selain SIRIM Berhad. Kemudahan yang ada di EMC UTHM ini adalah yang terbaik berbanding mana-mana universiti di rantau ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.