Monday, January 3, 2011

Lawatan ke Kemboja meneroka kerjasama strategik dan kemanusiaan

Dalam memperkasa aspek pengantarabangsaan universiti, satu lawatan kerja rasmi delegasi pegawai dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke negara Kemboja telah berlangsung pada 26 hingga 29 Disember 2010 yang lalu.

Delegasi UTHM telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang dikepalai sendiri Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin yang memberi tumpuan terhadap penerokaan kerjasama strategik UTHM dengan beberapa pihak di Kemboja manakala kumpulan kedua diketuai oleh Dekan Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Dr. Asri Selamat.

Dalam menjalin hubungan dan kerjasama strategik ini, delegasi UTHM yang turut disertai Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Mejar Jeneral (B) Dato’ Md Ismail Ahmad Khan dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad telah mengadakan lawatan ke Royal University of Phnom Penh, Institut Teknologi Kemboja, Public Bank Kemboja, dan Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Dalam kunjungan ke Royal University of Phnom Penh (RUPP) yang terletak di tengah-tengah bandaraya Phnom Penh itu, kedua-dua pihak amat tertarik untuk menjalin kerjasama khususnya dalam perkongsian kepakaran dan penempatan (mobiliti) pelajar. Rektor RUPP Lav Chhiv Eav memaklumkan bahawa mereka sedang merancang untuk memperkenalkan bidang pengajian kejuruteraan di RUPP dalam masa yang terdekat ini. RUPP merupakan sebuah universiti kerajaan yang memberi penekanan kepada pengajian di bidang Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dengan jumlah pelajar melebih 12 ribu orang, RUPP merupakan universiti tertua dan terbesar di Kemboja.

Sesi perbincangan bersama Rektor Royal Universiti Of Phnom Penh

Bersama Rektor Royal Universiti Of Phnom Penh, Lav Chhiv Eav

Semasa berkunjung ke Institut Teknologi Kemboja (ITC), delegasi UTHM telah disambut oleh Dr OM Romny selaku Director General . Bidang pengajian di institut ini mempunyai persamaan dengan beberapa bidang pengajian di UTHM seperti kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik. Justeru kedua-dua pihak telah menyatakan minat untuk berkongsi kepakaran dan kemungkinan penempatan pelajar mahupun staf di kedua-dua organisasi. UTHM juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan ITC dari segi penempatan latihan industri para pelajar UTHM di Kemboja serta peluang untuk pelajar Kemboja melanjutkan pengajian di UTHM.

Bersama Director General Institut Teknologi Kemboja, Dr .OM Romny

Di hadapan bangunan utama Institut Teknologi Kemboja

Bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein

Sesi perbincangan bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja

Naib Canselor dan delegasi UTHM turut membuat kunjungan hormat menemui Duta Besar Malaysia di Kemboja Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein Pengiran Haji Mohd Tahir Nasruddin di Bangunan Kedutaan Malaysia di pinggir Phnom Penh. Dalam pertemuan ini, Dr. Mohd Noh
telah mengambil kesempatan memperkenalkan UTHM dengan lebih lanjut di samping memaklumkan aktiviti dan hasrat kerjasama yang ingin dijalinkan bersama pihak Kemboja. Dalam reaksi balasnya, Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein amat mengalu-alukan usaha yang digerakkan oleh UTHM ini dan menyatakan kesungguhan beliau bagi pihak Kedutaan Malaysia untuk menghulurkan kerjasama kepada pihak UTHM.

Sesi perbincangan bersama Timbalan Menteri Pendidikan Kemboja

Semasa di bumi Kemboja, Dr. Mohd Noh yang mempunyai atur cara padat, turut mengadakan pertemuan berasingan bersama Menteri Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja, Yang Berhormat Datuk Othsman Hassan, Timbalan Menteri Pendidikan serta Pengurus Public Bank Kemboja. Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan tersebut adalah hal-hal yang berkaitan kerjasama dalam bidang pembangunan modal insan, latihan kemahiran dan sumber manusia yang sememangnya diberi perhatian oleh pihak kerajaan Kemboja.

Lawatan delegasi UTHM pada kali ini telah membawa berita gembira kepada penduduk kampung ini di mana, Naib Canselor UTHM dalam satu acara ringkas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kandal, Yang Berhormat Zakariyya Adam telah menyampaikan sumbangan dana wakaf berjumlah 13 ribu Dolar Amerika (sumbangan warga UTHM) kepada wakil penduduk kampong ini bagi tujuan pemilikan sebidang tanah bersebelahan masjid di kampung berkenaan. Tanah yang dibeli ini akan didirikan sebuah bangunan sekolah agama tiga tingkat bagi membolehkan lebih 500 orang pelajar mengikuti sesi pembelajaran yang selesa.

Dr. Mohd Noh menyampaikan ucapan di hadapan para penduduk Kampung Chroy Metrey

Sebahagian penduduk Kampung Chroy Metrey yang hadir di majlis penyerahan sumbangan dana wakaf UTHM

Dr. Mohd Noh menyerahkan replika cek sumbangan dana wakaf UTHM berjumlah USD 13 ribu kepada Imam Masjid Chroy Metrey

Sementara itu, lawatan ke Kemboja kali ini juga menonjolkan keperihatinan warga UTHM terhadap nasib golongan minoriti Muslim di Kemboja. Program kemasyarakatan telah diadakan di Kampung Chroy Metrey yang berada di wilayah Kandal. Ini merupakan program susulan kerana pada Hari Raya Qurban yang lalu, UTHM telah mengurbankan 32 ekor lembu di kampung tersebut.
Bersama sebahagian pelajar yang begitu teruja dengan cadangan pembinaan bangunan sekolah baru untuk mereka

Cadangan bangunan sekolah baru yang akan dibina

Bagi merealisasikan cita-cita penduduk kampung membina bangunan sekolah ini, UTHM telah menyatakan hasrat untuk berusaha mendapatkan dana dan sumbangan dari seluruh warga universiti serta para dermawan dari Malaysia untuk menampung perbelanjaan pembinaan bangunan ini.

Dr.Abdul Aziz (duduk tengah) dan Dato’ Md Ismail (duduk kanan) menyempurnakan pemasangan jubin di Masjid Kampung Chroy Metrey

Dr.Asri (tengah) memberi tunjuk ajar kepada para pelajar UTHM semasa gotong royong memasang jubin Masjid Chroy Metrey

Di Kampung ini juga, sekumpulan 10 orang pelajar UTHM telah berkampung selama tiga hari dan tinggal bersama-sama keluarga angkat di situ. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan, antaranya mereka telah membantu penduduk kampung memasang lantai jubin di masjid, memberi motivasi kepada anak-anak penduduk kampung serta melaksanakan kenduri sekampung yang melibatkan penyembelihan seekor lembu dan enam ekor kambing. Kesemua perbelanjaan untuk aktiviti kemasyarakatan ini adalah hasil sumbangan warga UTHM.


Dikeluarkan oleh,
Shafry Salim
Unit Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Emel: shafry@uthm.edu.my
Tel: 07-4537026

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.