Sunday, April 8, 2012

International Cultural Evening 2012 promosi UTHM ke peringkat antarabangsa


Dalam usaha memperkenalkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di mata dunia, satu majlis International Cultural Evening 2012 telah diadakan pada 27 Mac lalu bertempat di The Royale Bintang Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Pejabat Antarabangsa UTHM ini diadakan buat kali kedua bertujuan untuk mempromosi dan memperkenalkan profil UTHM di peringkat antarabangsa melalui hubungan yang baik dengan perwakilan negara asing yang berada di Malaysia.

Majlis yang bertemakan "International Visibility" itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato' Dr Hou Kok Chung. Beliau turut melancarkan buku terbitan UTHM bertajuk "The Conceit-University International Prospectus."

Menurut Dato' Dr. Hou Kok Chung, pihaknya menyambut baik program seperti ini kerana ianya dapat membuka ruang yang lebih luas kepada Institut Pengajian tinggi di Malaysia mempromosi institusi masing-masing di peringkat dunia sekali gus sebagai inisiatif kepada konsep dunia tanpa sempadan.

"Saya percaya dengan menemu dan menghimpunkan lebih ramai wakil-wakil daripada kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan para pelajar antarabangsa ini, kita sebenarnya telah membuka ruang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman masing-masing, tidak kira bahasa mahupun budaya, dan secara tidak langsung kita boleh merancang pelbagai program secara usahasama kelak demi untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Antarabangsa UTHM, Profesor Madya Dr Mohd Idrus Haji Mohd Masirin berkata pelaksanaan ICE2008 sebelum ini telah berjaya meningkatkan lagi jumlah pelajar antarabangsa di UTHM dari 11 orang pada 2007 kepada 215 orang pada 2009. Sejak itu, pelajar antarabangsa terus meningkat menjadi 322 orang pada tahun 2012.

"Pihak universiti berharap dapat meningkatkan lagi jumlah yang ada sekarang kepada 500 orang sehingga penghujung tahun ini. Untuk mencapai sasaran tersebut, kami amat mengharapkan sokongan dan bantuan dari pihak kedutaan dan suruhanjaya untuk menghantar lebih ramai lagi pelajar antarabangsa ke UTHM," katanya lagi.

Majlis ini dihadiri lebih 15 orang wakil dari kedutaan asing yang terdiri daripada duta-duta dan pegawai tertinggi kedutaan asing.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus Md Hussin; Ahli Lembaga Pengarah universiti,Dato' Seri Sufri Md Zin, Profesor Ir. Dr. Haji Abas Abdul Wahab; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan para pelajar antarabangsa daripada beberapa buah negara seperti Indonesia, Yemen, Libya, Somalia, Thailand dan Pakistan. Para tetamu turut disajikan dengan menu makan malam yang cukup istimewa sambil menikmati lagu-lagu keroncong dendangan penyanyi yang didatangkan khas daripada Unit Kebudayaan, Kesenian dan Warisan UTHM. Penyampaian hadiah kepada para pelajar yang telah berjaya menambat hati juri dalam acara yang dipertandingkan menjadi acara penutup kepada majlis tersebut.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.