Sunday, April 8, 2012

Sultan Johor Sempurnakan Majlis Multaqa Ulama’ dan Ilmuan Darul Ta’zim


Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim telah mencemar Duli menyempurnakan Majlis Multaqa Ulama' dan Ilmuan Darul Ta'zim kali kedua sempena ulang tahun hari keputeraan baginda di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 27 Mac lalu.

Baginda yang juga Canselor UTHM dalam titahnya mengingatkan golongan ulama supaya tidak sesekali menyampaikan ajaran sesat serta berbaur politik kepada umum. Menurut Baginda tindakan tersebut hanya akan mengelirukan masyarakat Islam dan boleh meruntuhkan perpaduan agama, bangsa dan negara.
Golongan Ulama perlu mencurah bakti dengan menyebarkan ilmu dan memberi kefahaman agama kepada masyarakat, namun ada juga ulama yang cenderung kepada bidang politik sehingga ceramah yang disampaikan menjadi medan untuk mengata, menfitnah dan mencaci orang lain. Justeru, Tuanku Sultan turut mengingatkan para ulama dan ilmuan agar menjadi contoh kepada masyarakat dalam membudayakan Islam sebagai gaya hidup seharian.

"Gaya hidup Islam bukan terletak pada imej luaran sahaja, tetapi yang lebih penting adalah perlakuan dan sifat kerohaniannya. Saya percaya jika kita mengamalkan Islam, hidup kita akan lebih aman dan diberkati," titah Baginda lagi.

Semasa majlis berlangsung, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Datuk Zainal Abidin Othman telah membentangkan resolusi Multaqa kali kedua di hadapan Tuanku Sultan dan kira-kira 1500 peserta yang hadir.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Haji Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz telah membentangkan kertas kerja bertajuk Pengurusan Islam Dalam Pentadbiran Negeri dan diikuti pembentangan kedua daripada Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah) Jabatan Peguam Negara, Tuan Haji Mahamad Naser Disa bertajuk Perundangan, Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman; Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; Penasihat Majlis Agama Islam negeri Johor, Datuk Nooh Gadot; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin serta Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Majlis Ulama'dan Ilmuan Darul Ta'zim ini merupakan majlis kali kedua pernah diadakan di UTHM bertujuan untuk melahirkan cendekiawan dan ulama yang berintegriti serta berkemampuan berhujah bersandarkan sumber yang jelas dan ilmu yang tinggi.

Majlis yang menemukan ulama' dan ilmuan ini juga bertujuan untuk menyatupadu, memperkukuh dan memartabatkan institusi dan kedudukan ulama, pemerintah dan ilmuan Islam agar boleh berhadapan dengan semua golongan manusia berdasarkan kesesuaian masa dan keadaan. Ia juga untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan terhadap isu-isu semasa dan jalan penyelesaian berdasarkan kehendak syarak dan keperluan masyarakat.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.