Sunday, April 8, 2012

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia iktiraf SISPA UTHM


Oleh : Mejar (PA) Norza Iskandar Helmi Abdullah

Lebih 2000 warga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan masyarakat hadir dalam program Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia ke 60 peringkat kebangsaan tahun 2012 di Paloh, Johor pada 24 Mac lalu.

Dato' Seri Hishammudin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima-penerima Watikah Tauliah Perlantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam, penerima Pingat Kebesaran Jabatan dan penerima Sijil Penghargaan yang diberi.

Melalui lantikan dan penghargaan ini, hubungan kerjasama yang utuh melalui program smart-partnership antara JPAM dengan Pemimpin Masyarakat, persatuan-persatuan, institusi pendidikan, syarikat korporat dan orang perseorangan telah meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kesiapsiagaan awam dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan mahupun bencana. Melalui gerakan kumpulan inilah, mereka menjadi duta kecil JPAM untuk mendekatkan diri kepada rakyat.

JPAM sebagai sebuah Jabatan yang memberi perkhidmatan kecemasan kepada orang awam, sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, selaras dengan tuntutan Kerajaan dalam ‘Menggerakkan Gelombang Kesukarelaan', melalui komitmen ketujuh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Gerakan transformasi kementerian ini direalisasikan untuk menjadikan khidmat JPAM benar-benar dirasai oleh rakyat dan menjadi penggerak paling utama dalam sebarang operasi menyelamat, kecemasan, krisis dan bencana bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pengurusan Angkatan JPAM, Yang Setia Roslan Wahab menjelaskan bahawa program sambutan tahun ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Penganjuran Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia bagi tahun 2012 ini telah dimulakan sejak penghujung Februari lalu lagi dengan melibatkan beberapa kawasan di sekitar Parlimen Sembrong ini.

Antara yang terlibat adalah warga tempatan dari pelbagai lapisan masyarakat seperti murid pra-sekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, golongan belia, kaum-kaum ibu, peniaga-peniaga, warga kerja perindustrian serta masyarakat setempat. Manakala antara program yang telah dijalankan adalah seperti Gotong Royong Perdana, Program e-Kasih, sumbangan beras, latihan keselamatan pertahanan awam yang meliputi perawatan awal kecemasan, CPR, menyelamat usungan, pengosongan bangunan (fire drill), melawan kebakaran kecil di rumah, kaedah menangkap ular, program kesedaran keselamatan, ceramah dan pameran serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Yang Amat Setia (PA) Dato' Dr Sulaiman Keling, Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dalam ucapannya berkata, "Sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam Malaysia yang disambut pada hari ini, berpaksikan tarikh keramat 24 Mac, yang disambut setiap tahun sejak penubuhannya 60 tahun yang lalu, mengangkat martabat warganya yang ampuh dan kompeten dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia."

Menurutnya lagi, bahang sambutan ini dapat dikongsi seluruh dunia apabila badan induk Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (International Civil Defence Organization, ICDO) juga menyambut Hari Pertahanan Awam Sedunia setiap 1 Mac setiap tahun, selaras resolusi Perhimpunan Agong ke- 9 ICDO pada tahun 1990 di Geneva, Switzerland.

"Tahun ini, tema sambutan adalah 'Pertahanan Awam Dan Kemalangan Domestik' ataupun 'Civil Defence And Domestic Accidents'. Di JPAM, kami percaya bahawa pendidikan, langkah-langkah pencegahan, meningkatkan kesedaran rakyat, dan mewujudkan persekitaran rumah yang selamat dianggap sebagai cara yang betul untuk mengelakkan risiko-risiko kemalangan domestik daripada berlaku. Apabila kita bercakap berkenaan kemalangan domestik, semua orang akan terlibat, tidak kira usia, tua atau muda, kaya atau miskin, semua itu tiada perbezaan," katanya lagi.

Sementara itu, Mejar (PA) Norza Iskandar Helmi Abdullah, penerima Sijil Penghargaan Pertahanan Awam mengucapkan terima kasih di atas penerimaan sijil yang diberikan oleh JPAM. Pengiktirafan yang diberikan bukan sahaja kepada individu malah kepada SISPA UTHM yang baru ditubuhkan pada tahun 2010 dan Kor SISPA di IPT.

Di samping itu, penglibatan Kor SISPA pada 24 Mac lalu merupakan Kawalan Kehormatan dari Kor SISPA UTHM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Manakala persembahan tarian perang daripada Kor SISPA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga telah menyerikan lagi program sambutan kali ini.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.