Sunday, January 1, 2012

3393 Pelajar UTHM Sertai Karnival Kokurikulum 2011



Kira-kira 3393 pelajar telah menyertai pelbagai program dan pertandingan yang berteraskan aktiviti kokurikulum semasa berlangsungnya Karnival Kokurikulum 2011 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 17 hingga 23 Disember 2011 lalu.

Karnival yang bertemakan "Kokurikulum Peneraju Pembangunan Insaniah Varsiti" merupakan satu program tahunan yang disambut untuk meraikan kursus kokurikulum di bawah seliaan Pusat Kokurikulum, UTHM. Karnival ini bertujuan untuk menerapkan kemahiran insaniah dengan konsep 1 Malaysia kepada para peserta dan juga untuk mengasah bakat kepimpinan serta disiplin pelajar.

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pertandingan kayak dan larian "Running with Passion", gotong royong kawasan, Fiesta Futsal 2011 dan forum "Syurga Cinta".

Manakala acara Perbarisan dan Sukan Klasik Sepanjang Zaman yang diadakan pada 18 Disember turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar. Pelbagai aktiviti seperti pertandingan tarik upih, galah panjang, bowling kelapa, lari dalam guni dan susun bata serta tarik tali telah dipertandingkan.

Sementara itu, Malam Inspirasi Malam pula telah menjemput para pelajar untuk mempersembahkan bakat seni masing-masing. Program tersebut menyaksikan persembahan daripada kumpulan pelajar yang mewakili beberapa kursus seperti Gamelan, Koir, Muzik Moden, Kompang, Senitaritradisi & kreatif dan juga Taekwando.

Manakala Kempen Derma Darah "Selautan Darah Sejuta Harapan" turut diadakan di perkarangan Dewan Terbuka pada 20 Disember lalu bertujuan mengajak warga universiti menderma darah untuk mengisi tabung darah hospital.

Karnival tersebut diakhiri dengan Majlis Penutup Karnival Kokurikulum 2011 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad pada 23 Disember 2011 di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz dalam ucapan perasmiannya berkata Karnival Kokurikulum UTHM merupakan salah satu usaha pihak universiti untuk memberi ilmu serta pengalaman kepada para pelajar yang mana ianya tidak dapat diperolehi di dalam bilik darjah sahaja.

"program seperti ini dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, bahkan dapat melahirkan pelajar yang sihat minda dan tubuh badan serta mempunyai pelbagai kemahiran," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan warga kerja UTHM agar tidak lupa untuk melibatkan kesemua etnik dalam program yang dijalankan bagi melengkapkan konsep 1 Malaysia.

Manakala Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Kamarudin Khalid dalam ucapannya berkata Karnival Kokurikulum merupakan salah satu medium untuk melahirkan kemahiran insaniah dalam diri pelajar.

"Semoga program ini dapat menjana kesedaran para pelajar tentang betapa pentingnya aktiviti kokurikulum ini dalam mempersiapkan diri untuk menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya.

Majlis penutup tersebut juga menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang untuk acara yang telah dipertandingkan sepanjang karnival berlangsung. Majlis itu juga mencipta kelainannya yang tersendiri pada kali ini dengan memberi penghargaan kepada tenaga pengajar melalui anugerah Jasa Bakti dan Fail Pengajaran Terbaik.

Persembahan koir, kompang, tarian zapin, sketsa PALAPES dan Teater Muzikal P.Ramlee daripada para pelajar telah menggamit perhatian penonton sekali gus memeriahkan lagi suasana dewan pada malam tersebut.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.