Tuesday, January 10, 2012

Hampir 13 ribu Mahasiswa terima RM200 Baucar Buku 1Malaysia



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula mengagihkan baucar buku 1Malaysia berjumlah RM200 seorang kepada kira-kira 12,988 orang mahasiswa yang sedang melanjutkan pelajaran secara sepenuh atau separa masa.

Para pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) sebelum ini menerima khabar gembira apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan mengumumkan pemberian baucar buku 1Malaysia bernilai RM200 setiap seorang semasa pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu di Parlimen.

Rentetan pengumuman tersebut, UTHM telah menerima sebanyak RM2.6 juta untuk diagihkan kepada para pelajar yang layak. Inisiatif ini dirangka bagi meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian selain untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi Y.

Bagi menyempurnakan amanah tersebut, UTHM telah mengadakan Majlis Pelancaran Baucar Buku 1Malaysia bertempat di perkarangan Perpustakaan pada 9 Januari 2011. Dalam majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin telah menyerahkan baucar buku 1Malaysia kepada wakil pelajar setiap fakulti dan pusat pengajian.

Beliau ketika ditemubual berharap para pelajar dapat memanfaatkan insentif yang diberikan dengan sebaik mungkin demi kepentingan pengajian masing-masing.

Sementara itu, Norliana Mohd. Noor,23 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) mewakili pelajar UTHM melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan memberi mereka insentif bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sepanjang pengajian.

"Pemberian baucar ini amat bermakna kepada kami, terutamanya kepada pelajar yang kurang berkemampuan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa kriteria telah digariskan oleh kerajaan bagi membolehkan seseorang pelajar itu layak menerima baucar buku tersebut. Antaranya ialah pelajar tersebut mestilah warganegara Malaysia dan sedang melanjutkan pengajian secara separa atau sepenuh masa di institusi pengajian di bawah seliaan Kementeriaan Pengajian Tinggi atau yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Justeru, setiap pelajar UTHM yang berkelayakan boleh menuntut baucar tersebut mulai 9 Januari hingga 31 Mac 2012 di fakulti masing-masing.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.