Tuesday, January 10, 2012

UTHM terima 200 Pelajar Persediaan Diploma Sesi 2012


Seramai 200 orang pelajar baru telah mendaftar untuk program Persediaan Diploma bagi sesi 2012 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 Januari 2012 baru-baru ini.

Program Persediaan Diploma merupakan program persediaan untuk diterima masuk ke UTHM dalam Program Pengajian Diploma. Ini bermakna untuk melangkah masuk penuh ke UTHM dan bergelar seorang mahasiswa, setiap pelajar perlu menyempurnakan semua keperluan yang telah ditetapkan dalam program ini. Hanya mereka yang berjaya dan cemerlang akan diterima masuk ke UTHM untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma.

Pendaftaran pelajar pada tarikh tersebut telah diselitkan dengan satu majlis Bacaan Ikrar iaitu membuat akujanji kepada diri sendiri sebagai simbolik bergelarnya pelajar UTHM. Bacaan ikrar tersebut telah disaksikan oleh ibu bapa, rakan-rakan dan juga Pegawai-Pegawai Kanan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad selaku wakil Naib Canselor dalam ucapannya berkata para pelajar harus tetapkan matlamat untuk mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang agar semua pelajar yang mengikuti program ini akan dapat masuk ke UTHM sepenuhnya dan terus bergelar mahasiswa.

"Para pelajar harus belajar bersungguh-sungguh demi menjamin tempat untuk memasuki program pengajian Diploma seperti yang diidam-idamkan," tambahnya lagi.

Beliau juga berkata walaupun persaingan untuk memasuki program pengajian Diploma agak kompetitif, namun pihak universiti yakin bahawa para pelajar Persediaan Diploma mempunyai kelebihan masing-masing. Ini kerana mereka telah dipilih berdasarkan kepada kriteria yang sangat tinggi. Lantaran itu, para pelajar harus menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk mendapat manfaat sepenuhnya.

Para pelajar yang telah mendaftar juga diwajibkan menyertai minggu suai kenal yang berlangsung selama dua hari. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya sesi taklimat berkaitan latar belakang universiti, peraturan dan etika rupadiri pelajar, keselamatan, perpustakaan, jadual kuliah dan peraturan akademik yang perlu dipatuhi.

Para pelajar program ini perlu menyelesaikan pengajian selama 13 minggu/satu semester iaitu bermula dari 9 Januari hingga 22 April dan diakhiri dengan peperiksaan akhir yang dijadual berlangsung selama satu minggu.

Seluruh warga universiti mengalu-alukan kehadiran semua pelajar Program Persediaan Diploma 2012 dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.