Tuesday, January 17, 2012

CEC UTHM bakal jadikan Kluang Bandar Ilmu


Dalam usaha meneroka, membangun serta mengembangkan ilmu pengetahuan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengorak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) di Kluang yang menfokuskan konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Majlis perasmian yang diadakan pada 17 Januari 2012 tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Dr. Hou Kok Chung. Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan CEC UTHM di bandar Kluang ini merupakan satu langkah bijak dan tepat kerana Kluang merupakan sebuah bandar yang berpotensi untuk dijadikan bandar ilmu pada masa akan datang.

"Sebagai Ahli Parlimen Kluang, pembukaan cawangan ini memberi peluang kepada saya untuk mempromosikan CEC dalam lawatan kerja saya ke dalam dan luar negara, dan diharapkan usaha ini dapat menarik seramai mungkin pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah mereka di sini," katanya lagi.

Menurut beliau, pihaknya juga merancang untuk meluaskan akses pengajian pasca siswazah di CEC, UTHM Kluang ini dengan menggandingkan lebih banyak universiti luar negara terutamanya dari China dan Taiwan dengan UTHM.

Terbaru, Pihaknya bersama UTHM sedang merancang untuk menubuhkan program Kejuruteraan Keretapi di Kluang memandangkan daerah ini mempunyai stesen keretapi yang dapat memenuhi tuntutan pembelajaran dan pengajaran bagi program ini.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin dalam ucapannya berkata bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa releven dengan kehendak industri, pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksanakan CEC ini telah diterapkan dengan elemen kemahiran insaniah dan kemahiran bahasa inggeris melalui kursus-kursus dan program yang ditawarkan. Selari dengan tagline Developing The Future, program yg ditawarkan setakat ini amat menepati pasaran industri.

"UTHM sentiasa menyokong mana-mana institusi latihan yang ingin menawarkan program-program berbentuk latihan kemahiran sejajar dengan keperluan industri. Justeru dengan penubuhan CEC cawangan Kluang ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kualiti tenaga kerja melalui pendekatan pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan pasaran kerja," katanya lagi.

Manakala dalam satu sidang media pada hari yang sama, Naib Canselor berkata CEC di Kluang dijangka berupaya mengendalikan sehingga 3000 orang pelajar. Beliau berkata Kluang dipilih kerana bandar ini mempunyai tarikan tersendiri di samping terdapatnya kemudahan infrastruktur dan pengangkutan yang baik untuk digunakan pelajar.

Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan pemberian dana untuk pembukaan akaun SSPN kepada 48 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan pelajar miskin daerah Kluang serta turut memberikan penajaan untuk 31 orang pelajar lepasan SPM bagi mengikuti program pengajian Persediaan Diploma. Pemberian sumbangan tersebut ditaja oleh Pejabat Canselori dan UTHM Holdings Sdn. Bhd. selaku anak syarikat UTHM. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Md Jais Sarday serta Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar.

CEC UTHM yang ditubuhkan pada 17 Julai 2003 ini menawarkan beberapa program seperti program kursus jangka pendek dan jangka panjang, program eksekutif, program pesisir dan program Peningkatan Kemahiran Industri (INSEP) yang mana ianya melibatkan aspek teori, amali dan juga kerja lapangan.












No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.