Wednesday, August 8, 2012

Kumpulan Teater UTHM juara Pertandingan Teater Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia


Kumpulan teater Putera AKSI Penggaram, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bergelar juara setelah berjaya menewaskan empat kumpulan teater lain semasa menyertai Pertandingan Teater Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Johor yang diadakan di Dataran Penggaram , Batu Pahat pada 23 Jun lalu.

Pertandingan teater anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor ini melibatkan kumpulan teater daripada lima daerah iaitu daerah Batu Pahat, Segamat, Johor Bahru, Muar dan Ledang. Kumpulan Putera AKSI Penggaram ini diwakili oleh dua orang pelajar dari UTHM iaitu saudara Muhammad Taqiuddin Faridil Atras dan Mohd. Shawari Amri Abdul Aziz. Manakala seorang lagi iaitu saudara Johnson Tok pula merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Sulaiman, Batu Pahat.

Kumpulan teater yang mewakili daerah Batu Pahat ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2000 beserta sijil penyertaan. Sementara itu, kumpulan teater dari Johor Bahru merangkul gelaran naib juara membawa pulang wang tunai RM1500 dan diikuti dengan Segamat di tempat ketiga membawa pulang RM1000.Untuk rekod, kumpulan teater UTHM pernah bergelar juara dalam pertandingan yang sama pada tahun 2010.

Teater ini diarahkan oleh Puan Rohaida Yon, guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Parit Raja dan Encik Rizal Asrol Badron, Artis Budaya, Unit Kebudayaan, Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P), UTHM sebagai Pengarah Produksi. Persembahan teater tersebut turut dibantu oleh tiga orang Artis Budaya Muzik, Unit Kebudayaan, P3P, UTHM iaitu Encik Baithan Mohd Salleh, Encik Mohd Nazri Mohd Nawi dan Encik Syahrizan Zainaldin sebagai pemuzik.

Teater muzikal karya Rahimah Muda ini mengisahkan sejarah pembukaan daerah Batu Pahat yang diterajui oleh Dato’ Bentara Luar Muhammad Salleh Perang. Kisah Dato’ Bentara Luar yang dianggap negarawan ulung yang banyak berjasa dalam memajukan daerah Batu Pahat ini turut diceritakan dalam teater ini.

Bergelar juara dalam pertandingan tersebut membolehkan kumpulan teater Putera AKSI Penggaram mewakili negeri Johor ke pertandingan teater peringkat kebangsaan yang dijadual akan berlangsung pada 2 Disember nanti.
           



                            

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.