Friday, August 10, 2012

UTHM semarakkan Program Ihya Ramadan


Untuk menghidupkan Ramadan bulan yang mulia bagi umat Islam ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengadakan beberapa program melibatkan pelajar termasuk pelajar antarabangsa  dan masyarakat setempat di sepanjang bulan ini. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya,UTHM melalui Pusat Islam melaksanakan program pemberian bubur lambuk secara percuma kepada pelajar dan kakitangan UTHM setiap hari Rabu di sepanjang bulan Ramadan. 


Penyediaan bubur lambuk ini dimulakan seawal jam 8 pagi lagi dan diuruskan oleh urusetia yang terdiri daripada 60 kakitangan UTHM yang dilantik oleh Pusat Islam. Seribu bungkus bubur lambuk dapat dihasilkan melalui aktiviti gotong royong beramai-ramai dan pengagihan juadah ini mula dijalankan sekitar pukul 4.00 petang.

Sementara itu, Pusat Islam juga mengadakan program berbuka puasa di Masjid UTHM khusus untuk pelajar dan kakitangan universiti setiap hari pada bulan ini. Menurut Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus, pada tahun ini pihaknya menyediakan makanan berbuka puasa untuk 600 orang jemaah setiap hari. 

Program berbuka puasa tersebut disusuli dengan program solat sunat tarawih. Pusat Islam juga turut mengimarahkan lagi masjid universiti dengan mengadakan program seperti berikut:

1.       7 Ogos 2012, Majlis Khatam Al-Quran dan Ceramah Nuzul Quran akan diadakan di Masjid. Ceramah akan disampaikan oleh YAA Hj. Amir Danuri, Ketua Hakim Syarie Johor.  

2.       11 Ogos 2012, Majlis Iftar Saudara-Saudara Baru Peringkat Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor. Majlis akan dirasmikan oleh YB Dato’ Zainal Abidin Othman, Exco Agama Johor, manakala ceramah akan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Johor.
3.       14 Ogos 2012, Majlis Iftar Ramadan, MAIJ bersama UTHM. Ceramah akan disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato' Haji M. Tahrir bin Dato' Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor.

4.      Program mengimarahkan al-Quran dan tazkirah pada setiap pagi Jumaat di Pusat Tanggungjawab (PTj) yang telah ditetapkan.

Beberapa PTj dan Persatuan turut mengimarahkan masjid dengan majlis iftar seperti berikut:


                                                        I.            1 Ogos 2012, Pejabat Naib Canselor dengan Kelab Staf KASTURI
                                                     II.            2 Ogos 2012, Pasukan Beruniform RELA UTHM mengadakan majlis iftar dengan tetamu utama Ketua RELA Negeri Johor
                                                   III.            8 Ogos 2012, Majlis Iftar ‘Setitis Syahdu Ramadhan’, anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar.
                                                  IV.            10 Ogos 2012, Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Pelajar Kursus Pengajian Islam Pusat Pengajian Diploma dengan kerjasama Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan.

Pusat Islam mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan daripada kakitangan UTHM dan masyarakat luar dalam berbagai bentuk bagi menjayakan Program Ihya Ramadan 1433H/2012. Semoga Allah membalas sumbangan tersebut dengan balasan amal jariah yang berterusan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.