Tuesday, September 11, 2012

“Setitis Syahdu Ramadan” – rai pelajar miskin dan anak-anak yatim

Bersempena bulan Ramadan ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dan pelajar miskin dalam satu majlis berbuka puasa "Setitis Syahdu Ramadan" anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 8 Ogos lalu di Masjid UTHM.

Seramai 100 orang pelajar miskin daripada enam buah sekolah sekitar Parit Raja, Batu Pahat bersama 20 pelajar yatim UTHM menerima sumbangan wang dan kuih raya dalam majlis tersebut. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dan isteri beliau Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed serta beberapa pegawai kanan universiti.


Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dalam ucapannya berkata majlis berbuka puasa ini adalah untuk menyalurkan sedikit kasih sayang dan memberikan kegembiraan kepada mereka yang dirai.

"Majlis berbuka puasa seumpama ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat HEP,malah pada tahun ini sasaran diluaskan lagi dengan menjalin hubungan mesra antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini turut melibatkan semua pelajar UTHM tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Justeru amalan ini diharap dapat meningkatkan lagi integrasi antara kaum," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada beberapa penaja seperti Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Kelab Staf UTHM (KSKUiTTHO) dan syarikat Miaow Miaow Food Products Sdn. Bhd. yang telah memberi sumbangan dalam menjayakan majlis berbuka puasa ini.
 


Sebelum penyerahan sumbangan berlangsung, tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus untuk menambahkan lagi keberkatan majlis. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Pendaftar, Haji Sulam Hamid; Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim dan beberapa pegawai kanan UTHM.

Program berbuka puasa "Setitis Syahdu Ramadhan" ini merupakan program usahasama Pejabat HEP dengan Pusat Islam dan beberapa pertubuhan dalaman universiti iaitu KSKUiTTHO, Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PENTAS) serta Kelab Sukarelawan UTHM.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.