Wednesday, September 26, 2012

Pemilihan MPP 2012 lancar, 74.08% keluar memilih

Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 20 September lalu mencatatkan bilangan pengundi teramai iaitu sebanyak 10,085 orang berbanding tahun sebelumnya.  

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP UTHM berkata jumlah itu mewakili 74.08 peratus daripada keseluruhan 13,614 pengundi yang layak mengundi. 

Menurutnya proses pilihanraya kampus kali ini berjalan lancar apabila pihak universiti menyediakan 13 pusat pengundian berbanding hanya empat sahaja pada tahun lepas. Pertambahan pusat pengundian ini dapat memudah dan menggalakkan lagi pelajar untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. 

Tambahnya lagi pada pilihanraya kali ini, beliau melihat mahasiswa lebih berani tampil ke hadapan untuk bersuara tetapi pada masa yang sama mereka tetap mengikut saluran yang betul. 

"Setiap pelajar mempunyai hak untuk bersuara tetapi haruslah diingat dalam setiap perkara yang dibangkitkan tidak perlulah menggunakan emosi. Ini kerana UTHM sangat mementingkan disiplin dalam kalangan pelajarnya. Bagaimanapun untuk pilihanraya kali ini pihak kami mendapat kerjasama yang baik daripada semua pelajar," katanya.

Proses pengundian yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu menyaksikan seramai 19 calon bertanding bagi merebut 9 kerusi umum dan 29 calon lagi merebut 18 kerusi fakulti di 7 buah fakulti. Proses pemilihan yang dilaksanakan secara elektronik (e-voting) tenyata begitu efisien serta memberi keselesaan kepada para pemilih membuat pengundian.

Pengumuman keputusan pilihanraya yang dilakukan oleh Profesor Dr. Abdul Aziz pada pukul 5.05 petang hari yang sama itu menyaksikan pelajar tahun dua, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dayang Wafiqah Abang Jama'aludin menerima undian tertinggi untuk kerusi umum iaitu sebanyak 8,207. Manakala Yang Dipertua MPP tahun lalu, Mohd Hafiz Ariffin di tangga kedua dengan undian sebanyak 7798 dan Muhammad Nur Hakim Nordin di tangga ketiga dengan undian sebanyak 7720.

Kerusi fakulti pula menyaksikan dua orang calon MPP iaitu saudari Farhana Kamarulzaman dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan saudara Muhammad Luqman Mahamad Zakaria dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) menang tanpa bertanding.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.