Tuesday, September 11, 2012

UTHM dan MGKKR Kluang jalin kerjasama tingkat perkhidmatan


Dalam usaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan sedia ada, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin hubungan kerjasama dalam bidang kaunseling dengan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Rendah (MGKKR) Kluang baru-baru ini.

Persefahaman kerjasama itu bertujuan memantapkan lagi fungsi dan peranan AKRAB UTHM dan guru bimbingan dan kaunseling daerah Kluang agar kedua-duanya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk anak-anak bangsa.

mgkkr

Kerjasama ini juga untuk meningkatkan hubungan kerjasama dalam aktiviti keinsanan dan khidmat runding, program peningkatan kemahiran dan akademik kepada tenaga pengajar serta untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.

Bagi merealisasikan hasrat itu, satu majlis pelancaran Jalinan Bestari AKRAB UTHM dengan MGKKR Kluang telah diadakan pada 28 Ogos lalu bertempat di kampus induk UTHM. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM telah menyempurnakan majlis tersebut.

Profesor Dr. Wahid dalam ucapannya berharap perjanjian kerjasama ini dapat melahirkan lebih banyak program mahupun aktiviti secara usahasama yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau juga berharap usaha ini dapat menambah baik hubungan antara rakan-rakan di luar kampus dan juga di menara gading.

mgkkr

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Dato' Haji Markiman Kobiran; Penaung AKRAB, Haji Sulam Hamid; Penasihat AKRAB, Encik Zakaria Yasin; wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Haji A. Manaf Muslimin dan Encik Rafiz Mohd Salleh, Presiden AKRAB, Dr. Mohd Sabri Ismail dan YDP MGKKR  Kluang, Encik Azman Hassiam.

Majlis tersebut turut diisi dengan satu sesi ceramah bertajuk "Gerakan Kesukarelawan dalam Pembangunan Modal Insan untuk Transformasi Kerjaya" yang disampaikan oleh Timbalan Presiden AKRAB, Profesor Madya Haji Sapon Ibrahim. Bacaan Marhaban dan jamuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri turut diadakan bagi menyerikan lagi majlis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.