Tuesday, September 11, 2012

Perutusan Aidilfitri - Naib Canselor seru warga universiti amal budaya bersederhana

Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin telah menitipkan beberapa amanat khas untuk warga universiti.

Perutusan yang mengambil masa kira-kira lapan minit itu disampaikan melalui rakaman video yang disiarkan secara online melalui website University Campus Interactive TV (UCiTV). Dalam amanatnya, Naib Canselor menyeru seluruh warga supaya mengamalkan budaya bersederhana dalam semua perkara. Untuk persediaan aidilfitri yang bakal tiba nanti, beliau mengingatkan warganya agar berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.

"Bagi warga universiti yang mempunyai lebihan pendapatan, sesungguhnya agama kita menyeru untuk sentiasa memperkukuhkan tali persaudaraan melalui zakat dan sedekah. Dahulukanlah dengan orang-orang yang terdekat dengan kita," katanya.

Beliau turut mengingatkan warga kerja dan para pelajar UTHM yang akan pulang bercuti di kampung halaman dan yang ingin membuat perjalanan jauh untuk berhari raya agar memandu dengan berhati-hati dan tidak lupa memastikan kenderaan yang dinaiki berada di dalam keadaan yang baik.

"Saya mendoakan agar anda semua selamat sampai ke destinasi. Bagi anak-anak pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, saya juga mendoakan anda semua selamat kembali ke universiti."

Sempena menjelangnya aidilfitri nanti, beliau mengingatkan mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa agar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk menyambut hari raya bersama. Ini kerana kepulangan di hari yang penuh bermakna itu sudah semestinya sangat dinanti oleh  keluarga tercinta. 

Sementara itu, beliau turut mengirimkan salamnya kepada warga kerja UTHM yang kini berada di luar negara atas tuntutan menuntut ilmu dan beliau berpesan kepada mereka agar sentiasa meneruskan usaha untuk mencapai kejayaan.

Profesor Dato' Dr. Mohd Noh juga melahirkan beberapa pengharapan di dalam amanatnya. Antaranya beliau berharap Ramadan kali ini berjaya membaiki dan menambah baik diri masing-masing tidak kira dari sudut keimanan, keyakinan diri mahupun kesabaran. Beliau juga mengharapkan agar ibadah puasa ini berjaya meningkatkan lagi semangat dan motivasi masing-masing sebagai seorang penjawat awam.

"Saya berharap ibadah puasa ini akan menjadikan kita sebagai insan yang sentiasa berjiwa besar, memiliki jiwa bangsa yang teguh serta menjadi pendokong tegar kepada perkhidmatan awam dan kerajaan," tambah beliau.

Di penghujung perutusan tersebut, beliau mewakili seluruh warga UTHM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri 1433 Hijrah dan Hari Kemerdekaan yang ke-55 kepada semua golongan masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.