Tuesday, September 11, 2012

Lawatan kerja UTHM ke Institusi Pengajian Tinggi Australia

Satu lawatan kerja ke beberapa universiti di Australia yang melibatkan empat orang pegawai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diadakan pada 9 Julai lalu bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan menjalinkan rangkaian kerja.

Delegasi lawatan terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Dato' Abd. Shukor Ibrahim; Pengarah Pejabat Pengurusan Strategik dan Kualiti, Profesor Dr. Noraini Kaprawi; Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti, Dr. Maizlinda Izwana Idris dan Ecik Ikram Syah Mokhtar. Kedatangan delegasi ke kampus University of New South Wales (UNSW) telah disambut oleh Postgraduate Co-ordinator, School of Material Science and Engineering, UNSW, Profesor Charles C. Sorrell dan Deputy Dean, Faculty of Science, UNSW, Profesor Peter F. Lovibond. 

Dr. Hasan Zuhudi Abdullah dan Dr. Maizlinda Izwana Idris merupakan alumni universiti tersebut dan ahli delegasi telah pun berbincang dengan mereka terlebih dahulu mengenai hajat lawatan ke UNSW dan kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan UNSW dalam beberapa bidang seperti penyelidikan dan program-program mobiliti pelajar serta staf.

UTHM percaya bahawa kerjasama yang erat ini adalah satu usaha merealisasikan ‘co-branding' yang akan membantu mempercepatkan lagi ‘rebranding' UTHM menjadi Universiti Teknikal Premier Malaysia dan seterusnya ke arah universiti teknikal APEX yang pertama.

Universiti-universiti yang dilawati telah pun berkongsi satu pertalian; pembangunan staf dan pelajar. Di sepanjang beberapa tahun lepas, seramai lebih kurang 40 staf akademik telah ke beberapa universiti di Australia untuk menyambung pengajian di peringkat PhD. Sebaliknya beberapa profesor dari universiti di Australia pula telah dilantik menjadi profesor pelawat di UTHM.

Selain daripada empat pegawai tersebut, beberapa ahli akademik UTHM yang lain turut melakukan lawatan ke beberapa universiti di Australia dalam usaha memperolehi maklumat berkenaan dan penanda arasan serta perbincangan bagi menjalinkan kerjasama dalam pembangunan akademik serta penyelidikan. 

Antaranya, Profesor Madya Dr. Mohammad Faiz Liew Abdullah telah melawat ke beberapa pusat kecemerlangan di beberapa buah universiti seperti University of Queensland, University of Melbourne dan RMIT. Begitu juga dengan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Madya Dr. Yusri Yusof telah berpeluang berbincang dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) Deakin University, Profesor Dr. Lee Astheimer mengenai beberapa perkara berkaitan kerjasama dan pembangunan universiti.

"Kita mungkin mempunyai organisasi yang berbeza dan beroperasi dalam negara yang berbeza, tetapi kita mempunyai banyak persamaan kerana kita berjuang untuk memberi khidmat kepada pelajar kita dengan cemerlang terutamanya bagi sebuah universiti muda yang kaya dengan keintelektualan berorientasikan praktikal", kata Profesor Dr. Noraini Kaprawi.

Sewaktu perbincangan didapati universiti-universiti di Australia jua mengharungi isu-isu dan cabaran yang serupa dengan UTHM terutamanya dalam soal bajet, penyelidikan, keperluan pelajar dan pengurusan kualiti.

"Kita perlu duduk secara semuka dan berbincang mengenai aktivit-aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Usahasama antara dua universiti ini adalah satu usaha yang amat dialu-alukan dan boleh dimulakan secara individu dahulu dan walaupun ianya kecil, ia boleh berkembang apabila pertalian dan kerjasama sudah kukuh dan seterusnya boleh menjana dana untuk manfaat bersama", kata Profesor Charles C. Sorrell dari UNSW.

Profesor Peter F. Lovibond berharap supaya perjumpaan dan kolaborasi ini akan dapat diteruskan lagi dan beliau tidak keberatan untuk datang ke UTHM sebagai penceramah pada masa akan datang. Kedatangan staf UTHM untuk berbincang tentang pembangunan cadangan penyelidikan disambut baik oleh pihaknya. Justeru, usaha sebegini perlu dipupuk dan dipanjangkan lagi sehingga kerjasama bersama UTHM menjadi satu kenyataan. 








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.