Sunday, September 23, 2012

Menteri Pengajian Tinggi lancar logo Sambutan 20 tahun UTHM



 
Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan upacara pelancaran logo Sambutan 20 tahun UTHM dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 September baru-baru ini.

Pelancaran logo Sambutan 20 tahun UTHM ini merupakan salah satu titik permulaan bagi UTHM menyambut 20 tahun penubuhannya. Sebagai sebuah universiti yang menjadi peneraju kepada bidang kejuruteraan dan teknikal berteraskan sains dan teknologi, UTHM akan mencapai 20 tahun usia penubuhannya pada tahun 2013 akan datang.

Dalam meniti usia tersebut, universiti ini telah melalui beberapa fasa naik taraf sebelum dikenali sebagai UTHM. Bermula dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) pada tanggal 16 September 1993, institusi ini kemudiannya dikenali sebagai Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1996. Pada 27 September 2000, ITTHO mendapat pengiktirafan apabila dinaiktaraf sebagai sebuah universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

Selepas enam tahun berdiri dengan nama KUiTTHO, pada tanggal 1 Februari 2007 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed telah mengumumkan penukaran nama KUiTTHO kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Selari dengan perkembangan dan reputasi cemerlangnya, UTHM kini terus pesat membangun sebagai sebuah universiti teknikal yang unggul di Malaysia.

Justeru pelbagai program dan aktiviti telah dirancang dan diatur sempena sambutan 20 tahun UTHM ini. Antaranya UTHM akan menganjurkan program berbentuk keilmuan iaitu "UTHM 20th Anniversary Lecture Series" yang menyenaraikan 20 profesor ternama dari seluruh dunia menyampaikan syarahan di UTHM bermula 28 September ini dan berakhir pada 2013 nanti.

Program-program lain termasuklah Istiadat Konvokesyen ke-12 UTHM dan Konvensyen Bandar DiRaja Muar yang dijadual berlangsung pada November 2012, program Jalinan Muhibah Alumni pada Mac 2013 dan Bakti Siswa Perdana pada April 2013,  perasmian Kampus Tanjong Laboh pada Jun 2013, diikuti dengan perasmian Kampus Pagoh pada Ogos 2013, sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 peringkat UTHM dan diakhiri dengan program kemuncak Sambutan 20 tahun UTHM pada September 2013 nanti. Merujuk kepada perancangan yang telah diatur, kemuncak sambutan tersebut akan diisi dengan beberapa program seperti pelancaran Buku ‘UTHM 20 Melakar Gemilang', Festival Lagu-Lagu Patriotik dan Konsert DiRaja.

Pelaksanaan sambutan 20 tahun ini adalah bertujuan untuk mengimbas kembali perjalanan universiti sejak ditubuhkan sehinggalah ke hari ini dengan merujuk kepada pencapaian-pencapaian dan peristiwa-peristiwa penting sebagai satu pendekatan memberi pendedahan kepada masyarakat. Sambutan ini juga merupakan satu usaha universiti untuk mempromosi UTHM di peringkat dunia agar lebih dikenali setanding dengan institut pengajian tinggi awam yang lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.