Tuesday, September 11, 2012

UTHM - 2145 daftar diri untuk sesi kemasukan semester 1 2012/2013

Seramai 2145 pelajar program Sarjana Muda telah mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi sesi kemasukan semester 1 2012/2013 pada 2 September lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII),UTHM.

UTHM telah menawarkan lebih 2000 tempat untuk sesi kemasukan kali ini dan melibatkan lebih 30 kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. Semester ini juga turut menyaksikan fakulti baru iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan mula mengambil pelajar untuk program Sarjana Muda ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, UTHM kali ini turut menerima 16 orang pelajar antarabangsa yang datang dari Yamen, Somalia, Sudan dan Chad. Kesemua pelajar baharu ini akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. 

Seperti kelaziman, kesemua pelajar baharu ini akan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama seminggu. Pelbagai pengisian akan diadakan pada minggu tersebut seperti sesi taklimat mengenai universiti, tatatertib dan pendaftaran kursus, sesi bersama kepimpinan universiti dan pemimpin negara, sukan rakyat serta Malam Warisan Bangsa sempena majlis penutup MHS.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar baru ini ke UTHM. Kemasukan pelajar-pelajar baru ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah di akhir pengajian kelak. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.