Tuesday, September 11, 2012

UTHM dan MTIB jalin kerjasama strategik dalam industri perkayuan


Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah diadakan pada 21 Mei 2012 lalu bertempat di The Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru.

MoU tersebut bertujuan menjalin hubungan kerjasama antara UTHM dan MTIB dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabut. Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pembangunan latihan pelajar dan staf, penempatan latihan industri pelajar, penempatan staf untuk tujuan penyelidikan, kolaborasi dalam pembangunan  teknologi industri dan penganjuran bersama untuk seminar, bahan penerbitan ataupun penyeliaan.  

mtib

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin manakala pihak MTIB pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Jalaluddin Harun. Majlis tandatangan itu turut disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (MPIC), YB. Tan Sri Bernard Dompok.

Turut hadir menyaksikan upacara itu Timbalan Menteri MPIC, YB. Dato' Hamzah Zainudin, Ketua Setiausaha MPIC, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim dan Pengerusi MTIB, Dato' Madius Tangau.

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) UTHM telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan program atau aktiviti bersama MTIB menerusi MoU yang telah dimeterai ini.

Rentetan daripada MoU itu, Naib Canselor dan beberapa pegawai kanan universiti turut menghadiri Majlis Perasmian Galeri Glulam di Jalan Tampoi Johor Bahru pada 22 Mei lalu. Bangunan Pusat Promosi Perkayuan Malaysia milik MTIB ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd. Yassin.
 
mtib


Pada masa yang sama, UTHM turut menyertai pameran promosi pendidikan sempena aktiviti mini pameran produk kayu dan biokomposit anjuran MTIB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.