Wednesday, September 26, 2012

Diskusi ilmu imbas pencapaian setengah tahun UTHM

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) telah menganjurkan satu majlis Diskusi Ilmu bertajuk "Refleksi Sasaran Kerja Tahunan Universiti Bagi Setengah Tahun 2012" pada 21 Septemberlalu bertempat di Dewan Utama, UTHM.

Majlis Diskusi Ilmu ini diadakan bertujuan untuk membincangkan tentang sasaran kerja tahunan universiti (SKTU) bagi enam bulan pertama tahun 2012. Program ini merupakan salah satu pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti bagi berkongsi maklumat dan pandangan selain memberi pendedahan semasa mengenai pelaksanaan dan pencapaian SKTU bagi tahun 2012. 

Dalam majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin telah membentangkan beberapa perkara berkaitan sekaligus mengimbas kembali perjalanan dan pencapaian universiti sepanjang enam bulan pertama bagi tahun 2012.

Naib Canselor memulakan pembentangannya dengan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan yang menerima lantikan semula dan lantikan baru bagi jawatan pentadbiran mahupun jawatan pengurusan dan juga kepada kakitangan akademik yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Doktor Falsafah (PhD.).

Beliau dalam pembentangannya menyeru warga universiti agar mengamalkan budaya "Collegiality" iaitu budaya muafakat, saling menghormati dan bekerjasama dalam sesebuah organisasi. Beliau turut mengupas satu persatu pencapaian UTHM sepanjang 6 bulan pertama tahun ini seperti peningkatan "network," perkhidmatan pelajar, penerbitan, fakulti dan program baru, pengukuhan pengurusan CAPS IPMO serta pemantapan reputasi.

Di akhir pembentangannya Naib Canselor menyeru warga universiti supaya turut sama menjayakan hasrat kerajaan dengan menggunakan segala peruntukan yang diberi dengan telus dan sebaik yang mungkin. Manakala satu sesi soal jawab yang melibatkan Naib Canselor dan beberapa ahli pengurusan tertinggi universiti turut diadakan bagi memberi peluang kepada kakitangan universiti mengemukakan sebarang persoalan berkaitan.

Sementara itu turut diadakan penyampaian hadiah untuk pemenang pertandingan Amalan 5S peringkat universiti yang sebelum ini diadakan pada 8 hingga 18 November 2011. Penyampaian anugerah ini menyaksikan juara keseluruhan pertandingan dipegang oleh Pejabat Bendahari dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000.00 beserta sijil penghargaan. 

Hadiah turut disampaikan kepada pemenang pertandingan fotografi anjuran Unit Perhubungan Awam, UTHM yang diadakan pada 5 Mac hingga 29 April lalu. Pertandingan yang bertemakan "UTHM: Mercu Kegemilangan Ilmu" telah menobatkan saudara Mohd. Izzat Abdul Malek (Pelajar) sebagai johan pertandingan diikuti dengan Mohd. Khairul Naser Ibrahim (staf) sebagai naib johan dan Mohd Idham Haziq Abd. Manan (Pelajar) di tempat ketiga. Manakala Anugerah Khas juri pula turut diberikan kepada Mohd. Izzat Abd. Malek dan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai beserta sijil penyertaan.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad; Pendaftar Encik Sulam Hamid dan beberapa pegawai kanan universiti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.