Tuesday, September 11, 2012

Penyelidik UTHM jayakan penerokaan saintifik di hutan Endau-Rompin

Seramai 50 orang peserta yang sebahagiannya terdiri daripada penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneroka hutan Taman Negara Endau-Rompin selama 9 hari untuk menjalankan pelbagai kajian selain mencari dan merekod maklumat penting berkaitan hutan dan alam semulajadinya.

Ekspedisi Trans Selai-Peta merupakan program anjuran pihak Perbadanan Taman Negara Johor, UTHM dan juga Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Penyelidik UTHM yang diketuai oleh Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed memulakan ekspedisi sejauh 44 kilometer bermula dari Selai, Segamat menuju ke Peta, Mersing pada 30 Jun hingga 8 Julai lalu. Ekspedisi itu dianggap antara penjelajahan paling mencabar pernah diadakan berikutan denai digunakan peserta tidak pernah digunakan sejak 10 tahun lalu.


Selain UTHM, ekspedisi tersebut turut membabitkan penyelidik dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Universiti Putra Malaysia (UPM),Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perikanan,  dan dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kakitangan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan masyarakat tempatan iaitu Orang Asli suku Orang Hulu.


Menyusuri denai yang juga laluan utama gajah serta berperang dengan serangan puluhan pacat antara cabaran utama yang dihadapi oleh peserta ekspedisi ini. Perjalanan turut melalui air terjun, mendaki cerun yang curam, menuruni lembah dan meredah hujan  namun semua itu tidak menghalang penyelidik melakukan tugas-tugas merekod, mengumpul dan mengkaji.

Profesor Datin Dr. Maryati berkata ekspedisi ini adalah bertujuan mengumpulkan bahan kajian flora dan fauna serta melakukan beberapa kajian berkaitan air merangkumi hidrologi, kualiti dan bioindikator. Selain itu turut diberi tumpuan dalam ekspedisi saintifik ini adalah mengenai geologi, landskap, serangga, etnobotani (tumbuhan ubatan), etnoentomologi (serangga penting dalam kehidupan), diversiti orkid, kulat dan juga perikanan.

"Segala maklumat dan penemuan baru yang direkodkan semasa ekspedisi ini diharap dapat dijadikan panduan berguna dan membantu pihak-pihak tertentu untuk sebarang usaha memulihara hutan semulajadi di negara kita," katanya.

Sementara itu, satu sesi pembentangan hasil kajian peringkat awal yang diperolehi pengkaji UTHM yang menyertai Ekspedisi Saintifik Trans Selai-Peta, Taman Negara Endau-Rompin telah diadakan di kampus induk UTHM baru-baru ini.


Dalam sesi pembentangan tersebut, Profesor Datin Dr. Maryati berkata selepas ini kumpulan penyelidik UTHM akan meneruskan kajian masing-masing melalui sampel yang dikutip serta juga akan terus ke lapangan, bagi mengetahui biodiversiti di taman yang dianggarkan berusia 248 juta tahun ini.

Hadir sama mendengarkan pembentangan tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin,wakil daripada PTNJ serta pihak media.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.