Sunday, July 29, 2012

PEIS platform pelajar antarabangsa kuasai bahasa Inggeris


Oleh Muhammad Radzi Kamarudin 

Dalam usaha memperkembangkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua kelompok masyarakat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memainkan peranan aktif dengan menganjurkan program Preparatory English for International Students (PEIS) 2012 selama 72 hari bermula 25 Jun hingga 30 Ogos. 

Program yang melibatkan kursus intensif bahasa inggeris untuk pelajar antarabangsa ini tidak mempunyai kelayakan minimum bahasa inggeris seperti yang telah disyaratkan dalam peraturan akademik dan setara dengan kelayakan ILETS 5.0 dan TOFEL 500 . Penekanan intensif diberikan dalam kursus ini melibatkan beberapa modul iaitu modul writing, reading, listening dan speaking. 

Pendaftaran program ini telah dijalankan pada 23 Jun lalu dan melibatkan 32 orang peserta. Sepanjang kursus berlangsung, peserta dilibatkan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran berbentuk kuliah, video, “role play”, kerja lapangan, kuiz, Internet dan pelbagai pendekatan pembelajaran aktif lain. Peserta juga diuji dengan peperiksaan akhir dan bagi mereka yang lulus program ini akan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM yang dijadualkan pendaftarannya pada September 2012. 

Selain daripada pendedahan intensif bahasa inggeris, peserta juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai kebudayaan Malaysia melalui modul Malaysia Culture. Pendedahan mengenai kebudayaan masyarakat setempat ini bertujuan untuk membantu peserta berkenaan mengadaptasi diri dengan cepat bersama masyarakat setempat. 

Di samping itu peserta turut dibawa melawat pasar pagi pada 28 Jun lalu untuk memberi peluang merasai sendiri budaya kehidupan masyarakat di Parit Raja. Peserta juga berikan pendedahan mengenai kemahiran komputer melalui modul Library Skills manakala pendedahan kepada penggunaan komputer dan sistem yang digunapakai oleh UTHM didedahkan melalui modul IT Skills. Kesemua aktiviti ini dilaksanakan dengan menggunakan bahasa inggeris. 

Oleh kerana sambutan daripada para peserta amat menggalakkan, program PEIS ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun berikutnya bagi memastikan hasrat UTHM menjadi universiti bertaraf antarabangsa akan terus disemarakkan melalui peningkatan bilangan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.