Wednesday, July 11, 2012

UTHM juara Pertandingan Debat Alam Sekitar 2012






Pasukan Debat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bergelar juara setelah berjaya menewaskan tuan rumah Universiti Malaya (UM) pada Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT yang berlangsung pada 29 Jun hingga 3 Julai baru-baru ini.

UTHM memperolehi kemenangan tersebut setelah melalui beberapa peringkat saringan yang kesemuanya melibatkan 27 pasukan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) seluruh Malaysia. Kejayaan tersebut menjadikan UTHM sebagai universiti teknikal pertama yang memecah benteng kejuaraan yang sebelum ini hanya dipelopori oleh beberapa universiti sahaja.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Che Ab Rahim Nik. Pasukan UTHM yang diwakili oleh Muhammad Hakim Zainal, Janifal Alifah, Lee Te Chuan dan Amirul Faiz Abdul Latif membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan. Mereka juga akan diberi peluang mengendalikan Simulasi Pemanduan Kapalterbang secara esklusif oleh Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS).

Pertandingan debat yang bertemakan “Negara Maju Dalang Pemanasan Global” telah menuntut setiap pasukan membuat persediaan rapi melalui pembacaan, kajian dan penghayatan terhadap isu tempatan dan antarabangsa. Pasukan UTHM yang berdebat mewakili Kerajaan menyahut cabaran ini dengan membuat persediaan yang secukupnya sebelum menterjemahkannya dalam bentuk perbahasan kepada penonton.  

Turut hadir ke Majlis Penutup dan Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT yang berlangsung di Kompleks Perdanasiswa, UM ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Puan Halimah Hassan; Setiausaha Kanan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datin Junaidah Kamarrudin.

Pertandingan Debat Alam Sekitar yang menggunakan bahasa melayu ini telah mencatat sejarah kerana tahun ini genap 20 tahun usia penganjurannya sekaligus menjadi pertandingan debat tertua di Malaysia dan paling mendapat sambutan daripada IPT seluruh Malaysia.

Penganjuran debat yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1986 ini merupakan medan kepada mahasiswa untuk mengupas isu-isu alam sekitar secara ilmiah yang boleh memangkin kesedaran mereka terhadap kecintaan kepada alam sekitar dan juga sebagai platform dalam memupuk budaya debat dalam kalangan mahasiswa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.