Sunday, July 1, 2012

UTHM lancar Kempen Berbasikal dalam Kampus


Bagi menyokong usaha melestarikan kampus, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan Kempen Berbasikal dalam Kampus pada 26 Jun lalu.

Kempen yang diselaraskan oleh Pusat Perumahan Dan Pengangkutan Pelajar (P2P) dengan kerjasama Unit Kampus Lestari ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan warga kampus meminimumkan penggunaan kenderaan bermotor di dalam kampus dengan menggunakan basikal sebagai pengangkutan alternatif untuk ke tempat kuliah, masjid mahupun pejabat.

Ia juga untuk memberi kesedaran kepada warganya menghargai alam sekitar dengan cara mengurangkan pembebasan karbon monoksida berlebihan dari enjin kenderaan. Selain itu, program ini juga adalah untuk membudayakan cara hidup sihat dengan menjadikan senaman berbasikal sebagai rutin harian.


Selain kempen berbasikal,UTHM sebelum ini telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong usaha ke arah kampus hijau ini. Antaranya dengan mengadakan kempen-kempen seperti kempen ‘Earth Hour’ dan ‘bumi hijau,’ pembinaan bangunan bersifat mesra alam serta pelaksanaan projek penghijauan lanskap.


Majlis pelancaran kempen yang diadakan di Padang Kawad, UTHM itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly selaku wakil rasmi Naib Canselor. Beliau dalam ucapannya berkata selain menjadikan UTHM sebagai kampus hijau, program ini juga bertujuan meningkatkan lagi kecergasan fizikal dan mental para pelajar.

Katanya lagi berbasikal bukan sahaja aktiviti yang baik untuk kesihatan, malah dapat memudahkan lagi pergerakan pelajar dari satu tempat ke satu tempat di dalam kampus ini.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan acara senaman kecergasan dan konvoi berbasikal beramai-ramai mengelilingi kampus. Acara pelepasan konvoi berbasikal telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim. Turut serta beberapa pegawai kanan dan kakitangan universiti serta para pelajar daripada tiga kolej kediaman. 


Acara simbolik penyerahan basikal kepada pengetua tiga kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tun Syed Nasir, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail dan Kolej Kediaman Tun Fatimah turut diadakan sewaktu majlis berlangsung. Sebelum itu, sebanyak 100 unit basikal telah diedarkan kepada ketiga-tiga kolej kediaman terbabit. Kesemua basikal tersebut adalah hasil sumbangan daripada Ahli Senat UTHM, UTHM Holdings dan juga beberapa kakitangan universiti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.