Sunday, July 1, 2012

UTHM terima kunjungan Presiden AIT, Ireland






Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan Presiden Institut Teknologi Athlone (AIT) Ireland, Profesor Ciarán Ó Catháin pada 21 Jun lalu.

Lawatan kerja di kampus induk UTHM tersebut melibatkan beberapa tempat seperti Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pusat Keserasian Elektromagnet (EMC) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).

Kedatangan Profesor Ciarán Ó Catháin ke UTHM telah disambut oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin bersama beberapa pegawai kanan universiti. Dalam lawatan tersebut, beliau telah dibawa meninjau beberapa makmal di FPTV dan EMC. Beliau juga dibawa ke PKU untuk melihat bagaimana pusat kesihatan tersebut beroperasi.

Lawatan diteruskan dengan sesi perbincangan dua hala melibatkan dua pemimpin UTHM-AIT dan turut dihadiri oleh beberapa pegawai kanan universiti serta dekan-dekan fakulti. Dalam pertemuan tersebut, fokus diberikan kepada beberapa perkara berkaitan hubungan kerjasama antara UTHM dan AIT.

Untuk rekod UTHM dan AIT sebelum ini pernah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2007.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly telah membentangkan beberapa cadangan untuk program kerjasama UTHM-AIT dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan juga program pertukaran pelajar. Sebahagian cadangan yang dikemukan disambut baik oleh presiden AIT itu dan sebahagian lagi akan dipertimbangkan oleh pihaknya.

Sementara itu, Profesor Ciarán Ó Catháin juga turut dibawa melihat tapak kampus UTHM di Pagoh yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

AIT yang terletak di tengah-tengah negara Ireland ini merupakan institusi pengajian tinggi yang menempatkan lebih 6000 pelajar program ijazah dan sarjana dalam bidang perniagaan, Kemanusiaan, Kejuruteraan dan Sains. UTHM melihat jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi ini akan dapat meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran yang sedia ada.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.