Wednesday, July 11, 2012

KOR SISPA UTHM bakal sertai Perhimpunan KOR SISPA di UMT

oleh Kapten Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam Ali

Seramai 72 orang Pegawai Kadet serta lapan orang Pegawai Bersekutu, Penyelaras dan Jurulatih Kor SISPA UTHM bakal menyertai Perhimpunan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali ke – 3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 14 hingga 18 Julai 2012 nanti. 

Perhimpunan yang bakal diadakan ini adalah bertujuan untuk menguji dan mengukur tahap kemahiran yang diperolehi mahasiswa sepanjang mengikuti latihan Kor SISPA di Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing. 

Kor SISPA UTHM akan menyertai kesemua pertandingan yang bakal diadakan iaitu Kawad Kaki, Menyelamat Tempat Tinggi, Melawan Kebakaran, Pertolongan Cemas, Menyelamat di air, Membaca Peta dan juga Kayak. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Ishak Baba selaku Timbalan Komandan Kor SISPA UTHM akan mengetuai kontinjen untuk perhimpunan pada kali ini. 

Pada tahun lepas Kontinjen Kor SISPA UTHM telah mendapat tempat kedua di dalam perhimpunan yang sama bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Diharapkan pada tahun ini, Kor SISPA UTHM sekali lagi dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang dan menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan yang digeruni oleh IPT yang lain. 

Sehubungan dengan itu, Kor SISPA UTHM memohon supaya semua warga UTHM memberikan sokongan dan mendoakan pasukan Kor SISPA UTHM memperolehi kejayaan di sana nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.