Friday, July 13, 2012

Persidangan Kebangsaan Kaunseling & Kerjaya – fokus isu-isu psikologi




 Bagi mendalami isu-isu berkaitan psikologi kanak-kanak, remaja dan warga emas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Malaysia (MAKUMA) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Kaunseling dan Kerjaya 2012 pada 3 hingga 4 Julai lalu.

Seramai 130 peserta yang terdiri daripada kaunselor institut pengajian tinggi awam dan swasta telah menyertai persidangan tersebut. Pelbagai kupasan mengenai isu-isu psikologi telah dibincangkan dalam persidangan itu selaras dengan tema “Psikologi Efektif, Keluarga dan Masyarakat Harmoni.”

Persidangan yang diadakan di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur ini bertujuan untuk membantu mengenali dan memahami psikologi kanak-kanak dan remaja serta strategi untuk mengendalikannya. Ia juga merupakan platform kepada peserta untuk berkongsi pandangan mengenai isu-isu berkaitan kanak-kanak, remaja dan warga emas dan mempelajari teknik dan aplikasi terbaik dalam menangani isu-isu tersebut.

Persidangan ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Beliau dalam ucapan perasmiannya turut menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh unit kaunseling di universiti dalam menangani permasalahan pelajar.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh telah berkongsi pengalamannya menghadapi pelajar bermasalah ketika bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dahulu. Menurutnya sepanjang enam tahun berkhidmat dalam jawatan tersebut, beliau pernah menangani pelbagai kes contohnya seperti menghadapi pelajar yang mahu membunuh diri kerana tertekan dan pelajar yang trauma akibat diculik. Katanya lagi, timbulnya pelbagai isu dan masalah yang berkaitan psikologi dalam kalangan pelajar ini akan menjadikan peranan kaunselor dan khidmat kaunseling di institusi pengajian tinggi menjadi semakin penting.

Majlis perasmian yang berlangsung pada 3 Julai itu juga diselitkan dengan upacara pelancaran buku “Merekayasa Pembimbing Rakan Siswa Institusi Pengajian Tinggi” hasil tulisan ahli-ahli MAKUMA. Upacara pelancaran tersebut turut disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Islam Malaysia; Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah selaku wakil rasmi Pengerusi MAKUMA dan Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P), UTHM; Profesor Madya Dr. Asri Selamat.

Tiga pembentangan kertas ucaptama telah diadakan sepanjang program berlangsung. Pembentangan ‘Mengenali Kanak-Kanak Istimewa’ telah dibentangkan oleh Dr. Aminah Bee Mohd. Kassim dari Kementerian Kesihatan Malaysia, ‘Peranan Ahli Psikologi Dalam Menangani Masalah Remaja’ oleh Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Che Din dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan ‘Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Psikologi Warga Emas’ oleh Encik Roslan Baba dari Jabatan Kebajikan Masyarakat

Manakala pembentangan kertas kerja seterusnya melibatkan tajuk seperti ‘Cabaran Dalam Memahami Warga Emas dari Perspektif Kaunseling’ disampaikan oleh Haji Hushim Salleh, ‘Cabaran Hebat Ibubapa Dalam Mendidik Kanak-Kanak Istimewa’ dibentang oleh Puan Hashimah Abdul Razak dari Hospital Kuala Lumpur dan ‘Remaja dan Kesalahan Juvana, Fenomena Keruntuhan Akhlak Remaja, Punca, Trend dan Penyelesaian dibentang oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Shatar Sabran dari Universiti Putra Malaysia.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.